Kilang lebur timah, jongkong seberat 890kg disita

Pengusaha kilang memproses timah kitar semula di Rasa di sini, yang dikesan bukan sahaja melanggar PKP malah beroperasi secara haram tanpa kebenaran PBT.
Pengusaha kilang memproses timah kitar semula di Rasa di sini, yang dikesan bukan sahaja melanggar PKP malah beroperasi secara haram tanpa kebenaran PBT.
A
A
A

HULU SELANGOR – Degil. Itu perkataan yang boleh diberikan kepada pengusaha kilang memproses timah kitar semula di Rasa di sini, yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah beroperasi secara haram tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bahagian Korporat Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di sekitar kawasan industri di Mukim Rasa Rabu lalu, sebelum mendapati pintu utama sebuah kilang berkunci, namun operasi dijalankan di dalamnya.

Menurut kenyataan itu, anggota penguat kuasa terpaksa memecahkan pintu untuk masuk dan menjalankan pemeriksaan selanjutnya, namun pekerja kilang terbabit sempat melarikan diri.

“Premis dikesan beroperasi berdasarkan kesan pergerakan ‘forklift’ dan juga tempat melebur timah didapati masih panas dan berasap,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, hasil pemeriksaan dijalankan kemudian menemukan pihak berkuasa dengan beberapa palet jongkong timah di dalam gudang berkenaan.

MDHS kemudian mengambil tindakan menyita dua buah forklift dan merampas jongkong timah dianggarkan seberat 890 kilogram.

Kesemua barang rampasan dibawa ke stor MDHS untuk tindakan selanjutnya mengikut Undang-undang Kecil (UUK)3 dan 38(1), Undang-undang kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDHS 2007.

MDHS menyita dua buah forklift dan merampas jongkong timah dianggarkan seberat 890 kilogram
MDHS menyita dua buah forklift dan merampas jongkong timah dianggarkan seberat 890 kilogram

Artikel Berkaitan:

“Kilang ini juga didapati melanggar perintah arahan PKP yang diumumkan,” katanya.

Operasi bermula jam 3 petang dan berakhir tiga jam kemudian itu melibatkan 20 kakitangan MDHS dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, MDHS mengingatkan pengilang dan peniaga mematuhi arahan PKP yang dikuatkuasakan dan tindakan sitaan akan dilaksanakan jika premis didapati tidak mempunyai lesen, manakala bagi yang mempunyai kebenaran pula, lesen akan digantung dan dibatalkan jika didapati melanggar peraturan.

“Hanya peniaga dan pengilang yang dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diberikan kebenaran beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, MDHS memberi amaran kepada pengusaha kilang dan perniagaan supaya menjalankan operasi secara sah dan mengikut peraturan ditetapkan jika mahu beroperasi di Hulu Selangor.

Sebelum memohon lesen dengan pihak MDHS, kilang diwajibkan memohon kebenaran merancang (KM) dan mendapatkan sokongan serta pengesahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terlebih dahulu.

“Pihak kilang berdepan tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 26(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] jika gagal mematuhi peraturan,” katanya kenyataan itu.