Kilang kitar semula musnah terbakar

Sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran dalam kejadian di Jalan Bukit Naga, Seksyen 32 Shah Alam pada Jumaat.
Sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran dalam kejadian di Jalan Bukit Naga, Seksyen 32 Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah kilang kitar semula musnah dalam kebakaran dalam kejadian di Jalan Bukit Naga, Seksyen 32 di sini pada Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 1.33 petang.

"Seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dan Balai Bomba Andalas dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran didapati melibatkan longgokan barangan kitar semula yang didapati terbakar 50 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan kerja pemadaman bagi mengelakkan kebakaran terus merebak.

"Kerja pemadaman dijalankan dengan bantuan dua buah jentera pengorek yang terdapat di kilang tersebut.

"Kebakaran kemudian berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2 petang," katanya.

Menurutnya, kejadian bagaimanapun tidak melibatkan mangsa dan siasatan masih dijalankan melibatkan punca dan kerugian akibat kebakaran tersebut.