Koguru belanja 'lunch' petugas kesihatan

Koguru menyumbang makanan tengah hari kepada petugas kesihatan selama lapan hari bermula 1 April.
Koguru menyumbang makanan tengah hari kepada petugas kesihatan selama lapan hari bermula 1 April.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan petugas kesihatan yang merupakan barisan hadapan bagi menghentikan koronavirus (Covid-19), Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru) menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) mereka dengan menyediakan hidangan tengah hari percuma.

Pengerusi Kehormat Koguru, Alias Yahya berkata, makanan tengah hari yang ditaja selama lapan hari bermula 1 April lalu itu akan diagihkan kepada 130 petugas di Klinik Kesihatan Marang dan Klinik Kesihatan Bukit Payung, Marang.

"Alhamdulillah, pihak kesihatan bersetuju menerima bekalan makan untuk semua petugas dua klinik di Marang dan ini adalah sumbangan kecil kita buat mereka yang besar jasanya.

"Koguru membekalkan nasi berdasarkan kepada keperluan dan kekosongan tarikh di lokasi kerana difahamkan ada pihak lain yang turut menyumbang, kita tidak mahu berlaku pembaziran jika sumbangan diberikan pada hari sama," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurut Alias, selain makanan, pihaknya turut bersedia menyumbang bantuan lain berdasarkan keperluan petugas barisan hadapan Covid-19 sebagai kemudahan kumpulan itu menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap mana-mana pasukan keselamatan, kesihatan dan pihak berkaitan dapat berhubung dengan Koguru sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

"Kalau ada lagi keperluan boleh maklumkan, Koguru tidak tahu secara jelas apa keperluan yang boleh dibantu, ini penting supaya tidak berlaku bekalan bertindih dan seterusnya pembaziran," katanya.

Artikel Berkaitan: