Kegiatan proses e-waste haram digempur, rampasan cecah RM6 juta

Kegiatan memproses e-waste secara haram di sebuah premis di Perindustrian Kapar Bestari dibongkar pada Khamis.
Kegiatan memproses e-waste secara haram di sebuah premis di Perindustrian Kapar Bestari dibongkar pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Kegiatan memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram di sebuah premis di Perindustrian Kapar Bestari di sini dibongkar dengan rampasan mencecah RM6 juta pada Khamis.

Serbuan bermula pada jam 11.30 pagi itu dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, dalam serbuan tersebut pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis berkenaan.

Menurutnya, turut ditahan ialah 38 orang pekerja warga asing yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri serta permit kerja yang sah.

Antara rampasan melibatkan e-waste di sebuah premis di Perindustrian Kapar Bestari, Klang pada Khamis.
Antara rampasan melibatkan e-waste di sebuah premis di Perindustrian Kapar Bestari, Klang pada Khamis.

"Pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan bahan yang disimpan serta diproses di premis tersebut.

"Hasil pemeriksaan di lokasi serbuan, pihak berkuasa telah merampas tembaga (copper) kira-kira 120,000 kilogram (kg), aluminium yang telah diproses sebanyak 560,000 kg, aluminium yang belum diproses sebanyak 811,300 kg, enam forklift, satu unit alat penimbang industri selain pelbagai mesin dan peralatan pengisar yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM6 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes disyaki melibatkan aktiviti pemprosesan sisa elektronik secara haram yang boleh memberi kesan kepada alam sekitar serta melanggar peruntukan undang-undang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes dirujuk kepada JAS untuk tindakan lanjut di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

"Sehubungan itu, PPM menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu membanteras aktiviti jenayah serta pencemaran alam sekitar," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kegiatan memproses sisa elektronik secara haram di Klang dibongkar, rampasan RM6 juta
  • Serbuan dijalankan oleh Pasukan Polis Marin, IPD Klang Utara dan Jabatan Alam Sekitar Selangor
  • Menahan seorang lelaki tempatan dan 38 pekerja warga asing tanpa dokumen sah
  • Rampasan termasuk tembaga, aluminium, forklift, alat penimbang industri dan peralatan pengisar
  • Kes disyaki melibatkan pemprosesan sisa elektronik haram, diarahkan ke JAS untuk tindakan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!