Yakuza Jepun dipenjara 20 tahun, cuba jual plutonium gred senjata kepada Iran

NEW YORK — Seorang lelaki warga Jepun dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun oleh mahkamah di Amerika Syarikat selepas didapati bersalah merancang untuk menjual plutonium gred senjata kepada Iran serta menyeludup bahan nuklear dari Myanmar.
Menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, lelaki tersebut, Takeshi Ebisawa, 61, didapati bersekongkol untuk memperdagangkan bahan nuklear dan cuba mendapatkan senjata berat bagi kumpulan pemberontak etnik di Myanmar.
Siasatan mendapati, Ebisawa merancang untuk mendapatkan senjata seperti peluru berpandu darat ke udara bagi kumpulan pemberontak berkenaan melalui penjualan bahan nuklear.
Ia didakwa dijual kepada individu yang disangkanya seorang jeneral Iran yang mengendalikan program senjata nuklear negara itu.
Individu tersebut sebenarnya merupakan ejen penyamar dari pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Selain itu, Ebisawa turut cuba mendapatkan senjata berat untuk kumpulan pemberontak lain di Myanmar dengan menjadi orang tengah dalam penjualan dadah jenis methamphetamine dan heroin yang dirancang untuk diedarkan di kawasan New York.
Dalam rancangan penjualan bahan nuklear tersebut, Ebisawa pada mulanya mencadangkan penjualan uranium sebelum menawarkan untuk mendapatkan plutonium.
Ketika pertemuan dengan ejen penyamar Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) yang menyamar sebagai penyeludup senjata dan dadah di Thailand sekitar Februari 2022, sampel bahan nuklear telah ditunjukkan kepada ejen berkenaan.
Sampel tersebut kemudiannya dirampas dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.
Analisis oleh makmal forensik Amerika Syarikat mendapati bahan itu mengandungi kesan uranium dan plutonium gred senjata.
Pendakwa sebelum ini menyatakan, Ebisawa yang berasal dari Utsunomiya di Wilayah Tochigi, Jepun itu merupakan pemimpin sebuah sindiket jenayah terancang Yakuza.
Beliau ditahan di New York pada April 2022, manakala hukuman penjara terhadapnya dijatuhkan oleh mahkamah persekutuan di New York pada Selasa lalu.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga Jepun dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun oleh mahkamah di Amerika kerana merancang menjual plutonium kepada Iran dan menyeludup bahan nuklear dari Myanmar
- Takeshi Ebisawa bersekongkol memperdagangkan bahan nuklear dan cuba mendapatkan senjata berat untuk kumpulan pemberontak etnik di Myanmar
- Ebisawa dirancang menjual bahan nuklear kepada individu yang disangkanya seorang jeneral Iran tetapi sebenarnya ejen penyamar Amerika
- Turut cuba mendapatkan senjata berat melalui menjadi orang tengah dalam penjualan dadah untuk diedarkan di New York
- Ditahan di New York pada April 2022 dan hukuman dijatuhkan oleh mahkamah persekutuan di New York
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

