X

Kindly register in order to view this article
!

Yadim iktiraf Tabung CovidSinar

A
A

KEBERKESANAN sukarelawan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) menyalurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan secara konsisten terus mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan dan swasta sehingga hari ini.

Terbaharu, tabung dana sumbangan khas yang dilancarkan Sinar Harian itu turut menerima sumbangan sebanyak RM50,000 daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) semalam.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, pihaknya terharu dan berterima kasih kepada Yadim yang komited menyalurkan sumbangan bermakna itu pada saat negara mendepani cabaran besar menangani penularan jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, sumbangan berterusan daripada rakyat Malaysia itu memberikan suntikan semangat kepada sukarelawan untuk terus mengagihkan keperluan perlindungan perubatan kepada seramai mungkin petugas barisan hadapan di Malaysia.

“Sumbangan Yadim ini masih belum diputuskan untuk pembelian item-item keperluan secara spesifik.

“Namun, kami tidak menolak kemungkinan akan menggunakannya untuk menyediakan sebanyak 5,000 peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang menjadi keutamaan kakitangan pejabat kesihatan di daerah-daerah yang diwartakan kawasan zon merah Covid-19 di Kuala Lumpur.

“Selepas ini sukarelawan Tabung CovidSinar akan turut mendapat kerjasama skuad Yadim bagi tujuan pengagihan. Ia menunjukkan peranan Sinar Harian membantu barisan petugas barisan hadapan negara semakin diiktiraf,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, bantuan yang disalurkan itu tidak hanya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur, malah pihaknya turut menyalurkan beberapa kelengkapan dan keperluan untuk petugas kesihatan di Simpang Renggam, Kluang, Johor yang kini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Auzani turut meluahkan rasa syukur atas komitmen yang ditunjukkan pembekal dan pengedar barangan keperluan perlindungan perubatan serta peribadi yang sentiasa konsisten memastikan penghantaran bekalan yang ditempah diselesaikan tepat pada masanya.

“Hari ini (semalam) sukarelawan Tabung CovidSinar menerima sebanyak 80,000 sarung tangan yang ditempah. Kami akan memastikan usaha pengagihan item ini akan diselesaikan secepat mungkin kepada kumpulan sasaran.

“Sarung tangan adalah salah satu keperluan utama yang amat diperlukan petugas kesihatan ketika mengendalikan kerja-kerja saringan Covid-19, selain PPE, topeng muka dan cecair basmi kuman.

“Kesemua barangan ini kita sudah pesan semalam (kelmarin) dan alhamdulillah mereka telah menghantarnya hari ini (semalam). Sebahagian daripadanya akan diagihkan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memastikan semua barangan keperluan petugas kesihatan sentiasa tersedia di pusat operasi dan pengumpulan di Kumpulan Karangkraf di sini.

Dalam pada itu, Auzani berharap lebih banyak agensi kerajaan dan swasta mencontohi inisiatif terpuji Yadim yang menyalurkan sumbangan kepada melalui Tabung CovidSinar.

“Dalam tempoh dua minggu Tabung CovidSinar diwujudkan, kita sudah berjaya mengumpulkan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM514,519.11 setakat jam 6.30 petang hari ini (semalam).

“Angka tersebut membuktikan komitmen seluruh rakyat Malaysia. Sukarelawan Tabung CovidSinar berharap rakyat Malaysia akan terus konsisten menyokong usaha murni petugas barisan hadapan negara. Teruslah menyumbang,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja), #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus