MyKad ganti QR beli minyak paket

Fuziah menyampaikan bakul rezeki kepada penerima sumbangan
Fuziah menyampaikan bakul rezeki kepada penerima sumbangan
A
A
A

KAJANG – Kerajaan menyasarkan penggunaan MyKad bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini melalui integrasi terminal MyKasih.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ketika ini kerajaan masih menggunakan sistem imbasan kod QR sebagai langkah sementara bagi memastikan warganegara tempatan yang layak dapat membeli minyak masak paket bersubsidi.

Menurutnya, sistem baharu itu akan membolehkan pengguna hanya menggunakan kad pengenalan untuk membuat pembelian melalui terminal MyKasih yang bakal ditempatkan di kedai runcit kecil dan sederhana.

“Pada ketika ini kita menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia membeli minyak masak paket. Mereka perlu mengimbas kod tersebut bersama rakan strategi kementerian.

Fuziah (kiri) bersama Mas Imran (tengah) mengacau bunur lambuk yang bakal diedarkan kepada pengunjung yang hadir ke Econsave Balakong.
Fuziah (kiri) bersama Mas Imran (tengah) mengacau bunur lambuk yang bakal diedarkan kepada pengunjung yang hadir ke Econsave Balakong.

“Langkah ini diambil selepas kerajaan mewartakan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi,” katanya selepas Program Edaran Bubur Lambuk dan Insentif CSR Econsave di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata warga asing dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac dengan larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Fuziah menjelaskan penggunaan kod QR merupakan langkah sementara sebelum sistem integrasi kad pengenalan dengan terminal MyKasih dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kira-kira 10,000 terminal MyKasih dijangka diedarkan kepada peruncit kecil dan sederhana di seluruh negara, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Kementerian kini sedang mengintegrasikan sistem berkenaan dengan pangkalan data yang dikumpul melalui aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS),” jelasnya.

Sejak sistem pemantauan diperkenalkan, beliau berkata kementerian merekodkan sekitar 951 kes ketirisan minyak masak paket bermula Januari 2024 hingga Februari 2026 dengan nilai rampasan berjumlah RM4.5 juta.

Sementara itu, Pasar Raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) meneruskan tradisi tahunan dengan mengedarkan sebanyak 200,000 pek bubur lambuk menerusi 109 cawangan pasar raya berkenaan di seluruh negara.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam memaklumkan pihaknya turut memperuntukkan dana sejumlah RM100,000 dalam bentuk baucar tunai dan bakul rezeki untuk diagihkan kepada golongan asnaf.

Perubahan yang dibuat:

Ringkasan AI

  • Kerajaan menyasarkan MyKad digunakan untuk pembelian minyak masak paket bersubsidi hujung tahun ini
  • Kini, pembelian minyak masak paket bersubsidi menggunakan sistem imbasan kod QR
  • Terminal MyKasih akan digunakan untuk pembelian dengan MyKad di kedai runcit
  • Kira-kira 10,000 terminal MyKasih akan diedarkan ke peruncit kecil dan sederhana
  • Penggunaan kod QR adalah langkah sementara sebelum sistem MyKad dan MyKasih sepenuhnya dilaksanakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!