'Wang mati saya' - Pesanan nenek sebelum meninggal dunia

Jenazah Am selamat dikebumikan pada 22 Februari lalu.
Jenazah Am selamat dikebumikan pada 22 Februari lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - “Wang mati saya." Itu pesan terakhir Noriam Saad sebelum menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan keluarga.

Pesanan Noriam yang mesra dipanggil Am itu sekali gus menjadi kenangan buat cucunya, Hafeez Ruslan yang berkongsi perkara tersebut di aplikasi TikTok.

"Di hari pengebumiannya pada 22 Februari lalu meja makan panjang yang pernah terisi dengan lauk pauk menjadi tempat jenazahnya dikafankan.

"Meja yang sama kami semua sembilan bersaudara bergelak bersuka ria sambil menikmati air tangan Am. Rasa pilu menyelubungi diri apabila teringat Am pernah bercerita dia menyediakan RM4,000 hasil keuntungan menjual wajik durian untuk membayar pengurusan jenazahnya," katanya.

Dalam hantaran sama, Hafeez turut memuat naik sekeping gambar yang memaparkan sejumlah wang kertas RM50 dengan nota tulisan tangan "Wang mati saya, jualan wajik durian".

Menurut Hafeez, Am yang meninggal dunia pada usia 84 tahun tidak pernah mengadu sakit sepanjang berada di hospital.

“Dia tak mengadu sakit, cuma kata penat,” ujarnya.

Lebih menyentuh hati, detik akhir itu berlaku dalam bulan Ramadan yang mulia apabila seluruh ahli keluarga berkumpul mengiringi pemergiannya dengan bacaan Surah Ar-Rahman.

“Ketika mesin bacaan jantung menunjukkan 30 peratus, kami beramai-ramai membaca Surah Ar-Rahman. Seiring habisnya bacaan kami, mesin itu menunjukkan 0 peratus,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Hafeez berkata, ketika itu dia hanya mampu menatap mesin berkenaan sambil mulut terkumat-kamit membaca ayat suci al-Quran dengan harapan apa yang berlaku bukanlah pengakhiran.

“Saya pandang ibu yang berdiri di sebelah Am, kemudian ibu pandang saya semula. Tiba-tiba air mata mengalir deras di pipi. Masa itu saya sedar insan yang banyak berbakti kepada kami telah dijemput Ilahi,” kongsinya.

Tidak sanggup melihat tubuh neneknya yang sudah tidak bernyawa, Hafeez segera keluar dari wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Di luar wad saya menangis. Dada yang berdebar tadi berubah menjadi sempit dan sakit untuk menerima kenyataan Am pergi di depan mata,” katanya.

Tambahnya, hujan yang turun ketika dia mengimamkan solat jenazah seakan-akan menjadi simbol perpisahan terakhir.

“Langit tumpahkan airnya ketika saya mengimamkan solat jenazah Am seolah-olah menangisi pemergiannya,” katanya.

Bagi Hafeez dan lapan lagi sepupunya, itulah khidmat terakhir mereka sebagai cucu kepada seorang nenek yang tidak pernah putus asa membesarkan anak serta cucu dengan penuh kasih sayang.

"Am bukanlah individu berpangkat besar. Am hanya tukang masak di kantin sekolah dan turut menoreh getah demi menyara keluarga. Namun akhlaknya menjadikan beliau disegani.

“Dia tak pernah marah budak-budak nakal, malah selalu nasihat mereka. Orang hormat Am bukan sebab pangkat, tapi sebab akhlaknya,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Noriam Saad meninggal dunia di pangkuan keluarga dengan pesanan terakhir tentang 'wang mati' dari hasil jualan wajid durian
  • Cucunya, Hafeez Ruslan, berkongsi kenangan tentang neneknya di TikTok termasuk detik akhir menggunakan meja makan untuk urusan jenazah
  • Detik pemergian Noriam diringi pembacaan Surah Ar-Rahman oleh keluarga selama bulan Ramadan
  • Noriam, yang berumur 84 tahun, tidak mengadu sakit hanya merasa penat sebelum meninggal
  • Hafeez dan lapan sepupunya menganggap momen pemergian nenek mereka sebagai khidmat terakhir, menghormati pengorbanan dan kasih sayang yang tidak pernah putus dari nenek mereka yang merupakan tukang masak di kantin sekolah dan menoreh getah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!