ADUN Bukit Tambun dilantik Exco Pulau Pinang ganti Fahmi

CHOON AIK
CHOON AIK
A
A
A

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Fahmi Zainol yang ditamatkan perkhidmatannya berkuat kuasa pada Rabu.

Pelantikan tersebut diperkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib selaras dengan Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Menurut kenyataan media Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, pelantikan itu berkuat kuasa dari tarikh Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Rahsia Ahli MMKN Pulau Pinang.

"Fahmi yang juga ADUN Pantai Jerejak sebelum ini ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ahli MMKN berkuat kuasa pada tarikh sama," kata kenyataan tersebut.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Rahsia berkenaan akan diadakan pada 6 Mac ini, jam 11 pagi di Seri Mutiara.

Untuk rekod, Choon Aik merupakan wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat.

Beliau telah berkhidmat sebagai ADUN Bukit Tambun sejak Mei 2018. 

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan jawatan Exco Fahmi telah tamat secara rasminya pada Rabu.

Sebelum ini, Fahmi yang merupakan Exco negeri termuda digantung serta-merta daripada semua jawatan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga kes mahkamahnya selesai.

Artikel Berkaitan:

Tindakan berkenaan dibuat susulan ADUN Pantai Jerejak itu didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya pada 22 Februari lalu.

Beliau yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Ringkasan AI

  • Goh Choon Aik dilantik sebagai Ahli MMKN Pulau Pinang menggantikan Fahmi Zainol
  • Pelantikan ini diperkenan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang
  • Pelantikan berkuat kuasa dari tarikh pengurniaan surat cara pelantikan
  • Fahmi Zainol, ADUN Pantai Jerejak, perkhidmatannya sebagai Ahli MMKN ditamatkan
  • Fahmi digantung daripada semua jawatan PKR atas tuduhan kecederaan terhadap isteri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!