Lima lelaki ditahan ponteng puasa, beri alasan gastrik

Individu yang ditahan telah diberikan Notis Perintahkan Hadir ke Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Islam Daerah bagi tindakan lanjut. Foto Bahagian Penguatkuasaan JAIPk
Individu yang ditahan telah diberikan Notis Perintahkan Hadir ke Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Islam Daerah bagi tindakan lanjut. Foto Bahagian Penguatkuasaan JAIPk
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menahan lima lelaki kerana disyaki tidak berpuasa menerusi operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri sejak 1 Ramadan lalu.

Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kesemua individu terbabit telah diberikan Notis Perintahkan Hadir ke Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Islam Daerah bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, kebanyakan mereka berusia lingkungan 19 hingga 70 tahun itu memberi alasan sama, mendakwa tidak bangun bersahur, melakukan kerja berat serta mengalami masalah kesihatan seperti gastrik.

"Hasil semakan mendapati tiada individu yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan sama.

"Bagaimanapun jumlah ini menunjukkan peningkatan kes yang agak ketara kerana sepanjang tahun lalu hanya merekodkan tiga kes tangkapan," katanya kepada Sinar Harian.

Harith Fadzilah berkata, sehingga Selasa, sebanyak 36 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan melibatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, selain kesalahan ponteng puasa, pemantauan dilakukan turut mengesan kesalahan premis makanan yang menjual makanan dan minuman kepada orang Islam untuk dimakan di premis.

"Kesalahan lain termasuklah tabung kutipan derma yang diletakkan di kaunter premis makanan dan lokasi tumpuan awam tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JAIPk turut melaksanakan pendekatan dakwah dan pendidikan dengan mengedarkan serta menampal poster di premis makanan dan lokasi tumpuan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Khidmat nasihat turut diberikan selain hebahan melalui media sosial bagi memastikan mesej menghormati Ramadan sampai kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Ringkasan AI

  • JAIPk menahan lima lelaki disyaki tidak berpuasa menerusi operasi penguatkuasaan sejak 1 Ramadan
  • Kesemua individu diberikan Notis Perintahkan Hadir ke Unit Penguatkuasaan, Pejabat Agama Islam Daerah
  • Beralasan tidak bangun bersahur, kerja berat, dan masalah kesihatan seperti gastrik
  • Tidak ada individu yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan sama
  • Sehingga kini, 36 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan melibatkan kerjasama PBT, KKM, dan JKM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!