Kabel dicuri dekat Stesen Damansara Damai, laluan Putrajaya alami gangguan

PETALING JAYA - Kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa di Laluan Putrajaya sedang giat dijalankan susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai yang dikesan awal pagi, Selasa.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, kejadian berkenaan telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan kerja pembaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat serta stabil.
"Perkhidmatan tren dijangka dipulihkan secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.
"Sepanjang tempoh gangguan, perkhidmatan tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Justeru, Rapid Rail menyarankan penumpang menggunakan laluan rel alternatif sebagai langkah sementara.
Syarikat terbabit turut memohon kerjasama semua penumpang supaya mematuhi arahan petugas di stesen demi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan bersama.
Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL serta aplikasi MyRapid PULSE.
Ringkasan AI
- Kerja baik pulih bekalan kuasa di Laluan Putrajaya dilakukan akibat kecurian kabel
- Gangguan perkhidmatan dijangka berlangsung selama tiga hari
- Penumpang disediakan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara ulang-alik percuma
- Rapid Rail menyarankan penumpang menggunakan laluan rel alternatif
- Maklumat terkini mengenai status perkhidmatan dikemas kini menerusi media sosial Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

