Mersing jadi tuan rumah World #QuranHour di Johor

JOHOR BAHRU – Program World #QuranHour (WQH) terus diperkukuh di negeri ini apabila daerah Mersing dipilih sebagai tuan rumah penganjuran tahun ini sekali gus meluaskan capaian penghayatan al-Quran ke kawasan luar bandar.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji negeri, Roziah Kamal berkata, pemilihan Mersing selari dengan strategi pihak penganjur untuk menembusi semua daerah di Johor secara berperingkat.
Menurutnya, kelainan penganjuran kali ini ialah lokasi tidak lagi di masjid seperti tahun-tahun sebelumnya, sebaliknya di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Khairiah Al-Islamiah, Mersing.
“Pendekatan ini memberi ruang penglibatan lebih luas khususnya dalam kalangan institusi pendidikan dan komuniti setempat.
“Kita mengutamakan peserta tempatan dan hebahan telah dibuat di kawasan sekolah serta komuniti berhampiran dan kerjasama turut dijalin bersama Perpustakaan Awam Johor,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Roziah berkata, kehadiran peserta dianggarkan antara 600 hingga 700 orang, dengan fokus utama melibatkan penduduk sekitar Mersing.
Beliau turut memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib, dijangka hadir dan program Bubur Lambuk Perdana bersama komuniti turut diadakan.
Pada masa sama, Roziah menjelaskan edisi ke-11 WQH mengangkat Surah al-Muzzammil sebagai teras mesej pembinaan insan, sejajar dengan pendekatan pemilihan surah berbeza setiap tahun oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas bagi memastikan mesej al-Quran terus relevan dengan keperluan semasa ummah.
Ringkasan AI
- Program World #QuranHour (WQH) diperkuat di Johor dengan pemilihan Mersing sebagai tuan rumah tahun ini
- Mersing dipilih selaras dengan strategi untuk menembusi semua daerah di Johor
- Penganjuran tahun ini berlangsung di Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Al-Islamiah, bukan di masjid
- Inisiatif ini melibatkan komuniti setempat dan institusi pendidikan, dengan kerjasama Perpustakaan Awam Johor
- Fokus utama program adalah penduduk sekitar Mersing dengan peserta dijangka antara 600 hingga 700 orang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

