Sekumpulan wanita tahan pengebumian, tuntut waris jelas hutang arwah

SAMPANG – Tindakan sekumpulan wanita menahan proses pengebumian seorang lelaki di Desa Ragung, Kecamatan Pangarengan, Kabupaten Sampang, tular di media sosial selepas video kejadian itu mendapat perhatian ramai.
Difahamkan, tindakan tersebut dilakukan bagi memastikan ahli waris si mati bertanggungjawab terhadap hutang yang ditinggalkan arwah semasa hayatnya.
Menurut Ketua Seksi Hubungan Masyarakat Polis Sampang, AKP Eko Puji Waluyo, lelaki yang meninggal dunia itu dipercayai mempunyai beberapa tanggungan hutang dengan penduduk setempat.
Katanya, sebelum proses pengebumian dijalankan, beberapa penduduk yang pernah memberi pinjaman wang dan emas kepada arwah hadir untuk menuntut kepastian daripada suami serta anak-anak si mati berhubung pembayaran hutang.
“Mereka meminta agar sebelum keluarga arwah menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab membayar segala tanggungan, jenazah tidak dibenarkan untuk dikebumikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Insiden itu bagaimanapun tidak berlarutan lama apabila pihak keluarga bersetuju untuk menanggung dan menyelesaikan hutang yang ditinggalkan arwah selepas satu sesi perbincangan diadakan.
“Selepas bermusyawarah, keluarga arwah bersedia untuk bertanggungjawab atas hutang tersebut.
"Setelah mencapai persetujuan, proses pengebumian berjalan dengan aman dan lancar,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Sekumpulan wanita menahan proses pengebumian seorang lelaki di Desa Ragung, Kecamatan Pangarengan, Kabupaten Sampang
- Tindakan tersebut bertujuan memastikan ahli waris bertanggungjawab atas hutang si mati
- Arwah dipercayai mempunyai tanggungan hutang dengan penduduk setempat
- Penduduk menuntut kepastian pembayaran hutang sebelum pengebumian
- Keluarga arwah bersetuju bertanggungjawab atas hutang dan pengebumian dijalankan selepas persetujuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

