PM seru rakyat ambil iktibar konflik Asia Barat, perkukuh perpaduan

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia mengambil iktibar daripada konflik di Asia Barat serta penderitaan berpanjangan di Palestin terutama Gaza dengan terus memperkukuh semangat perpaduan dan kesatuan dalam negara.
Beliau berkata, dalam situasi geopolitik global yang semakin tidak menentu, Malaysia perlu kekal bersatu tanpa mengira perbezaan politik, kaum atau agama bagi mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta kepentingan negara.
"Isu ini bukan soal menyebelahi mana-mana kuasa besar semata-mata tetapi soal mempertahankan prinsip, keadilan dan kedaulatan.
"Dalam keadaan genting begini, negara kecil seperti Malaysia mesti berdiri teguh dengan kekuatan perpaduan rakyatnya,” katanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Felda di sini pada Khamis.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar berkata, tidak ada negara di dunia yang menghadapi kekejaman, rampasan tanah serta kemusnahan berterusan termasuk pembunuhan kanak-kanak dan kemusnahan hospital serta sekolah seperti yang dialami rakyat Palestin selama lebih 70 tahun.
"Sebab itu, renunglah sebentar di bulan Ramadan tentang nasib umat dan mengapa kita harus kukuhkan perpaduan, bersihkan diri kita dan negara kita.
"Kita ada keupayaan, jaga Felda, hospital, sekolah dan tidak ada orang yang musnahkan setiap hari seperti yang berlaku di negara sana. Gunakanlah keadaan ini sebaik mungkin, itu yang saya nak pesan dari hati ke hati,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Ramadan juga harus dijadikan kesempatan untuk memperkukuh kesedaran, meningkatkan amal serta mendoakan keselamatan negara, masyarakat dan umat Islam secara keseluruhannya.
Beliau berkata, hanya dengan kesatuan, integriti dan penghayatan nilai yang kukuh Malaysia mampu kekal aman serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.
Pada awal pagi 28 Februari lepas, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan udara terhadap beberapa sasaran di Iran.
Tehran kemudian bertindak balas dengan menyasarkan pangkalan tentera serta kemudahan logistik Amerika Syarikat di beberapa negara Arab, yang turut menyebabkan sekatan ruang udara meluas di seluruh rantau itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggarisbawahi kepentingan mengambil iktibar daripada konflik Timur Tengah untuk memperkukuh perpaduan di Malaysia Anwar menekankan pentingnya kebersamaan tanpa mengira perbezaan politik, kaum, atau agama dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan negara Perkara ini disampaikan dalam konteks situasi geopolitik global yang tidak menentu, menyeru negara kecil seperti Malaysia untuk berdiri teguh Anwar menyentuh kekejaman yang dialami oleh rakyat Palestin selama lebih 70 tahun sebagai contoh pentingnya perpaduan dan kedaulatan Seruan ini dibuat dalam rangka bulan Ramadan, mengajak untuk memperkukuh kesedaran dan doa untuk keselamatan serta meningkatkan amal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
