Ada ahli Parlimen kerajaan tidak hadir, sokong usul PMX- Pemuda Pas

SHAH ALAM - Pemuda Pas mendakwa terdapat ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir dan tidak menyokong usul yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tindakan itu menyebabkan usul tersebut tidak mendapat sokongan dua pertiga majoriti Kerajaan Madani.
Menurutnya, walaupun Anwar sendiri membentangkan usul berkenaan, undian yang menyokong hanya berjumlah 146.
"Hari ini dalam sejarah! Kerajaan Madani pimpinan PMX tidak cukup bilangan majoriti dua pertiga di Parlimen.
"Undian untuk meminda Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan bilangan minimum 148 orang ahli Parlimen untuk diluluskan.
"ALLAH Maha Kuasa," ujarnya menerusi laman Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Dewan Rakyat pada Isnin tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
Seramai 146 ahli Parlimen menyokong RUU tersebut, manakala 44 ahli Parlimen tidak mengundi atau berkecuali dan 32 ahli Parlimen tidak hadir selepas undian secara blok dilakukan sejurus selesai dibahaskan oleh 41 ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan ahli Parlimen.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, memberitahu bahawa ia merupakan kali pertama RUU gagal diluluskan dalam penggal pentadbiran PMX.
"Kerajaan gagal mendapatkan dua pertiga majoriti untuk meminda Perlembagaan petang ini di Dewan Rakyat!
"Kali pertama RUU gagal diluluskan dalam penggal pentadbiran PMX," ujarnya.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, berkata pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri gagal mendapatkan sokongan dua pertiga.
"Jadi pembangkang minta ada pindaan. Kerajaan tidak cukup dua undi," ulasnya.
Ringkasan AI
- Pemuda Pas mendakwa ahli Parlimen Kerajaan tidak hadir menyokong usul Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan kegagalan mendapat sokongan dua pertiga
- Usul yang dibawa adalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan hanya mendapat sokongan 146 ahli Parlimen daripada 148 yang diperlukan
- Ini adalah pertama kali RUU gagal diluluskan di bawah pentadbiran PMX kerana kekurangan sokongan
- Rang Undang-Undang Perlembagaan tidak meluluskan had maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri
- Sejumlah 44 ahli Parlimen tidak mengundi atau berkecuali dan 32 ahli Parlimen tidak hadir semasa undian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

