Susur pusingan U Sungai Kandis hampir siap, Seksyen 4 berpotensi dibuka awal

KLANG - Perkembangan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di Seksyen 3 terus dipantau selepas susur pusingan U di Sungai Kandis dilihat hampir siap.
Situasi itu menimbulkan tanda tanya ramai apabila Seksyen 4 dari Bukit Raja ke Lebuhraya Persekutuan kelihatan berpotensi dibuka lebih awal sebelum Seksyen 3.
Gambar dikongsi oleh Fawwaz Media menunjukkan, laluan di Bukit Raja lebih lengkap berbanding Seksyen 3 yang masih dalam pembinaan di beberapa kawasan.
"Nampak macam Seksyen 4 Bukit Raja ke Lebuhraya Persekutuan akan dibuka lebih awal sebelum Seksyen 3," katanya.
Sinar Harian pada 10 Oktober tahun lalu melaporkan tentang kemajuan projek WCE berhadapan dengan kelewatan akibat keengganan 19 pemilik tanah di kampung itu mengosongkan kediaman mereka dan tidak bersetuju dengan jumlah pampasan diberikan.
Kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih 20 bulan dan menjejaskan keseluruhan projek lebuh raya yang diumum pada 2012 dengan jangkaan kos RM7.07 bilion.
Bagaimanapun, konflik antara penduduk Kampung Jawa dan projek Seksyen 3 akhirnya berakhir apabila kerja-kerja perobohan kediaman dilakukan dalam keadaan aman pada 2 Disember lalu.
Ringkasan AI
- Perkembangan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat di Seksyen 3 dipantau selepas susur pusingan U hampir siap
- Seksyen 4 dari Bukit Raja ke Lebuhraya Persekutuan kelihatan berpotensi dibuka lebih awal sebelum Seksyen 3
- Laluan di Bukit Raja lebih lengkap berbanding Seksyen 3 yang masih dalam pembinaan
- Projek WCE berhadapan dengan kelewatan akibat keengganan 19 pemilik tanah mengosongkan kediaman mereka
- Kerja-kerja pembinaan di Seksyen 3 WCE tergendala lebih 20 bulan, meningkatkan kos keseluruhan projek lebuh raya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

