Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam persekitaran sentimen berhati-hati

Ringgit dijangka diniagakan melebihi RM3.90 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat. Gambar hiasan
Ringgit dijangka diniagakan melebihi RM3.90 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, meskipun sentimen berhati-hati yang berterusan susulan konflik ketenteraan yang berterusan di Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 3.9210/9340 berbanding dolar AS 3.9225/9295 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak meningkat ketara berikutan ketegangan geopolitik yang memuncak, namun pelabur kini memberi tumpuan kepada tindak balas bank pusat global terhadap potensi tekanan inflasi, khususnya dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang masih sederhana.

"Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 98.381 mata, sedikit lebih tinggi berbanding sekitar 97 mata minggu lepas.

"Semalam, ringgit ditutup meningkat 0.9 peratus berbanding Jumaat. Setakat ini, ia kekal berdaya tahan meskipun kebimbangan terhadap ketegangan geopolitik di Timur Tengah, kenaikan harga minyak mentah dan tekanan inflasi yang terhasil,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan ringgit akan diniagakan melebihi paras RM3.90 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, berkemungkinan bergerak dalam julat RM3.90 hingga RM3.95 sekiranya tiada tanda-tanda ketegangan konflik akan mereda.

Ketika ini, minyak mentah West Texas Intermediate susut 0.24 peratus kepada AS$71.06 setong, manakala minyak mentah Brent meningkat 6.68 peratus kepada AS$77.74 setong.

Dalam dagangan awal, ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding mata wang utama. Ia naik berbanding euro kepada 4.5852/6004 daripada 4.6031/6113 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4928/5014 daripada 2.4984/5032.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.2573/2747 daripada 5.2460/2553 sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Berbanding mata wang ASEAN, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0809/0916 daripada 3.0854/0912 dan sedikit tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.73/6.76 daripada 6.74/6.76.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 232.4/233.3 daripada 232.5/233.0, namun susut berbanding baht Thailand kepada 12.5012/5539 daripada 12.4682/4980. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat pada Selasa meskipun ada ketegangan di Asia Barat
  • Harga minyak meningkat berikutan ketegangan geopolitik namun pelabur fokus kepada tindak balas bank pusat global
  • Indeks dolar AS sedikit lebih tinggi berbanding minggu lepas
  • Ringgit dijangka diniagakan melebihi RM3.90 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat
  • Ringgit mengukuh berbanding mata wang utama lain seperti euro dan yen Jepun tapi susut berbanding pound Britain

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!