Tujuh aksi tanpa kalah, Carrick hidupkan semula United

Michael Carrick
Michael Carrick
A
A
A

PENGENDALI sementara Manchester United, Michael Carrick tidak dapat menyembunyikan senyuman ringkasnya apabila ditanya mengenai laungan ribuan penyokong yang menyanyikan namanya di Old Trafford pada Ahad.

Sorakan itu bergema ketika dia berjalan di tepi padang selepas United bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Bagi Carrick yang menghabiskan lebih sedekad mengemudi jentera tengah United dari 2006 hingga 2018, penghargaan tersebut cukup bermakna.

Di bawah kendaliannya, The Red Devils kini tidak tewas dalam tujuh perlawanan dan kembali berada dalam kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejak Mei 2023.

“Ya, sudah tentu ia sesuatu yang menggembirakan.

“Tempat ini amat bermakna buat saya. Melihat suasana positif dan semua orang seronok datang ke stadium serta menikmati perlawanan, dan saya mempunyai sedikit pengaruh terhadap perkara itu... saya tidak akan menipu, sudah tentu ia rasa sangat baik," katanya.

Carrick membimbing pasukan mencatat enam kemenangan dan satu keputusan seri sejak dilantik menggantikan Ruben Amorim yang dipecat pada 5 Januari lalu.

Bagaimanapun, dia pantas menepis pujian yang terarah kepadanya.

“Saya fikir para pemain berhak menerima banyak pujian atas apa yang mereka pamerkan di atas padang. Jadi ini bukan tentang saya semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Hubungan dengan penyokong amat besar maknanya. Untuk merasainya, dan mereka terus bersama kami walaupun bermula agak perlahan sebelum menamatkan perlawanan dengan cara itu, ia cukup bermakna," katanya.

Benjamin Sesko sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan menerusi tandukan hasil sepakan percuma tepat daripada Bruno Fernandes. Fernandes sebelum itu membuka jaringan menerusi sepakan penalti.

Gol tersebut merupakan jaringan ketujuh Sesko dalam lapan perlawanan semua pertandingan, termasuk tiga gol dalam tiga aksi terakhir sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi seiring kebangkitan United di bawah Carrick.

“Saya amat gembira untuk Ben. Sejak beberapa minggu lalu saya katakan ini bukan satu tekanan besar. Dia memberi impak besar dan dalam masa sama menunjukkan peningkatan ketara,” ujar Carrick.

Menurutnya, etika kerja tinggi pemain Slovenia berusia 22 tahun itu menjadi faktor utama kebangkitannya.

“Dia sangat mahu berjaya. Dia bekerja keras dan sentiasa memikirkan bagaimana untuk menjadi lebih baik. Dia satu keseronokan untuk dilatih.

“Kami mempunyai fleksibiliti di jentera serangan, peranan berbeza dan pilihan berbeza. Mungkin ia berubah lagi pada Rabu nanti, tetapi bagus untuk mempunyai banyak pilihan," katanya.

Ditanya mengenai faktor keyakinan diri dan kesesuaian taktikal yang membantu kebangkitan Sesko, Carrick mengakui kedua-duanya memainkan peranan.

“Mungkin kedua-duanya. Hubungan dan kepercayaan yang dibina itu penting. Tetapi dia sendiri telah melakukan kerja keras. Dia kekal positif. Dia pemain yang bagus, sebab itu dia berada di sini. Dia ada kekuatan tersendiri dan benar-benar menjadi ancaman.

“Dia masih muda dan ini baru permulaan. Tetapi ketika ini dia melakukan sesuatu yang hebat. Saya sangat teruja melihat sejauh mana dia boleh pergi,” katanya.

Ringkasan AI

  • Michael Carrick tidak dapat menyembunyikan senyuman ketika ditanya mengenai laungan penyokong di Old Trafford
  • The Red Devils tidak tewas dalam tujuh perlawanan dan berada dalam tiga teratas Liga Perdana Inggeris di bawah kendalian Carrick
  • Carrick mengakui penyokong mempunyai pengaruh besar terhadap semangat dan prestasi pasukan
  • Benjamin Sesko mencatat prestasi mengagumkan dengan jaringan ketujuh dalam lapan perlawanan
  • Carrick memuji etika kerja tinggi dan keinginan Sesko untuk berjaya serta fleksibiliti taktikal dalam pasukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!