Manchester United rugi selepas kempunan aksi Eropah

MANCHESTER United mencatat kerugian bersih pada suku pertama selepas terkesan dengan penurunan hasil siaran dan jualan tiket berikutan ketiadaan kelab itu dalam saingan Eropah musim ini.
Kelab berpangkalan di Old Trafford itu merekodkan kerugian bersih sebanyak 6.6 juta pound (kira-kira RM 36.2 juta) bagi suku berakhir 30 September, berbanding keuntungan 1.4 juta pound (sekitar RM 7.7 juta) pada tempoh sama tahun lalu.
Jumlah pendapatan keseluruhan merosot dua peratus, manakala gaji pemain dan staf turun 8.2 peratus susulan langkah pengurangan jawatan.
“Keputusan sukar yang kami ambil sepanjang tahun lalu telah menghasilkan kos operasi yang lebih rendah serta organisasi yang lebih efisien untuk memacu peningkatan prestasi sukan dan komersial dalam jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada dalam satu kenyataan.
United melaksanakan pemotongan pekerjaan dan langkah penjimatan lain selepas mencatat kerugian selama enam tahun berturut-turut, menggambarkan kepayahan yang dialami juara 20 kali England itu yang bergelut di dalam dan luar padang.
The Red Devils mengekalkan unjuran pendapatan fiskal 2026 antara 640 juta pound hingga 660 juta pound (kira-kira RM 3.51 bilion hingga RM 3.62 bilion), dengan keuntungan teras dijangka berada dalam lingkungan 180 juta pound hingga 200 juta pound (RM 988 juta hingga RM 1.10 bilion).
Pemilik minoriti, Jim Ratcliffe yang memegang kira-kira 29 peratus saham dan mengetuai operasi bola sepak kelab itu telah menaikkan harga tiket walaupun United membelanjakan sekitar 230 juta pound (sekitar RM 1.26 bilion) dalam jendela perpindahan musim panas.
Beliau turut mengumumkan pelan membina stadium baharu bernilai 2 bilion pound (RM 11 bilion) dengan kapasiti 100,000 tempat duduk.
Ketiadaan kelab itu daripada kejohanan Eropah musim ini menjejaskan hasil siaran seterusnya meningkatkan tekanan kewangan, sekali gus mencetuskan kritikan penyokong ketika prestasi pasukan di saingan domestik juga tidak memberangsangkan.
Ringkasan AI
- MANCHESTER United mencatat kerugian bersih sebanyak 6.6 juta pound berikutan ketiadaan dalam saingan Eropah
- Jumlah pendapatan keseluruhan kelab turun dua peratus dan gaji pemain serta staf turun 8.2 peratus
- Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada, menyatakan langkah pengurangan jawatan telah menghasilkan kos operasi yang lebih rendah
- United menyaksikan pemotongan pekerjaan sebagai bahagian dari langkah penjimatan setelah mencatat kerugian selama enam tahun berturut-turut
- Pemilik minoriti, Jim Ratcliffe, mengumumkan pelan untuk membina stadium baru bernilai 2 bilion pound dengan kapasiti 100,000 tempat duduk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

