Lelaki dikhuatiri lemas ketika jaring ikan di Sungai Belat

KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang melakukan kerja-kerja menjaring ikan di Sungai Belat, Kampung Belukar, Batu Tiga Jalan Gambang, di sini pada Ahad.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7:58 malam sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan digerakkan ke lokasi.
"Siasatan awal mendapati mangsa telah turun ke sungai secara bersendirian dengan menaiki sebuah bot gentian kaca pada jam 2:30 petang untuk memasang perangkap ketam atau udang.
"Bagaimanapun, kira-kira dua jam kemudian, bot milik mangsa ditemui hanyut tanpa pengemudi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Zulfadli menambah, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan serta-merta dengan tumpuan awal di kawasan sekitar tebing sungai.
Menurutnya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuantan turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu operasi pencarian di dalam air.
"Operasi melibatkan kekuatan logistik merangkumi sebuah jentera FRT, unit EMRS, kenderaan Urvan, Hilux, serta sebuah bot aluminium.
"Anggota penyelamat kini sedang giat menjalankan pencarian di sekitar lokasi terakhir bot mangsa ditemui namun tidak menjumpai," jelasnya lagi.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menjaring ikan di Sungai Belat, Kuantan
- Pihak bomba menerima panggilan kecemasan dan sepasukan 10 anggota telah digerakkan ke lokasi
- Mangsa pergi memasang perangkap ketam atau udang seorang diri dalam bot gentian kaca
- Bot mangsa ditemui hanyut tanpa pengemudi kira-kira dua jam selepas dia berangkat
- Operasi mencari dan menyelamat diaktifkan dengan fokus pada kawasan tebing sungai dan air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

