Majlis kepimpinan interim Iran dibentuk, mulakan operasi - Presiden

Masoud Pezeshkian. Foto: Agensi
Masoud Pezeshkian. Foto: Agensi
A
A
A

TEHERAN - Majlis kepimpinan interim tiga anggota Iran telah dibentuk dan mula menjalankan operasinya, kata Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Ahad.

Beliau mengumumkan perkara itu menerusi mesej video yang disiarkan oleh stesen televisyen kendalian kerajaan, IRIB TV, beberapa jam selepas Iran mengesahkan kematian Pemimpin Agung Ali Khamenei dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara itu pada Sabtu, lapor Xinhua.

Pezeshkian berkata, majlis itu akan meneruskan perjuangan Khamenei dengan cekal, sambil menegaskan bahawa angkatan tentera Iran bersedia untuk 'menghancurkan' pangkalan-pangkalan 'musuh'.

Terdahulu, Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Ali Larijani berkata menurut Perkara 111 Perlembagaan Iran, sekiranya berlaku kekosongan kepimpinan negara, Presiden, Ketua Kehakiman dan seorang pakar undang-undang daripada Majlis Penjaga Perlembagaan akan memikul tanggungjawab pemimpin secara sementara.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA kemudian melaporkan bahawa Majlis Penentuan Kepentingan Iran telah memilih Alireza Arafi, seorang pakar undang-undang daripada Majlis Penjaga Perlembagaan negara itu, sebagai anggota majlis kepimpinan interim berkenaan

Majlis kepimpinan interim itu turut dianggotai oleh Pezeshkian dan Ketua Kehakiman Gholamhossein Mohseni-Ejei.

AS dan Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Iran pada Sabtu, mengorbankan Khamenei, bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, serta beberapa pegawai kanan yang lain.

Serangan bersama itu mencetuskan serangan balas oleh Iran terhadap sasaran Israel dan AS di seluruh Asia Barat. - Bernama-Xinhua

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Majlis kepimpinan interim tiga anggota Iran telah dibentuk, diumumkan oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian
  • Pemimpin Agung Ali Khamenei meninggal dunia akibat serangan AS-Israel
  • Majlis itu bertujuan untuk meneruskan perjuangan Khamenei
  • Majlis kepimpinan interim dianggotai oleh Pezeshkian, Ketua Kehakiman Gholamhossein Mohseni-Ejei, dan Alireza Arafi
  • Serangan AS-Israel terhadap Iran mencetuskan serangan balas dari Iran terhadap sasaran di Timur Tengah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!