Malaysia benam Austria 6-1 pada aksi pembukaan kelayakan Piala Dunia

SKUAD hoki lelaki negara membuka kempen kelayakan Piala Dunia dengan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Austria dalam aksi Kumpulan B di Ismailia, Mesir, pada Ahad.
Malaysia bagaimanapun dikejutkan seawal minit ketiga menerusi pukulan penalti strok oleh Fulop Losonci sebelum skuad negara menunjukkan taring, dengan menyamakan kedudukan pada minit ke-24 hasil jaringan padang berturut-turut oleh Azrai Aizad Abu Kamal dan Shello Silverius.
Momentum kemenangan diteruskan apabila Norsyafiq Sumantri menjaringkan gol keempat menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34, dengan Azrai Aizad sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring 10 minit kemudian, diikuti Akhimullah Anuar Esook menambah gol kelima pada minit ke-52 menerusi jaringan padang.
Marhan Jalil melengkapkan kemenangan besar Malaysia dengan gol keenam hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-57, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga dalam aksi pembukaan kumpulan.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B seterusnya dijadual menentang Pakistan esok, sebelum melengkapkan saingan peringkat kumpulan bertemu China pada Rabu ini.
Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir, manakala pemenang peringkat empat terbaik bakal berentap pada pentas final. - Bernama
Ringkasan AI
- Skuad hoki lelaki negara menewaskan Austria 6-1 dalam kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir
- Austria terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ketiga melalui pukulan penalti
- Malaysia menyamakan kedudukan pada minit ke-24 dan terus mendominasi permainan
- Enam gol Malaysia dijaringkan oleh pelbagai pemain termasuk dua gol oleh Azrai Aizad
- Malaysia akan berhadapan dengan Pakistan dan China dalam perlawanan seterusnya di Kumpulan B
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
