Konflik berterusan AS Israel - Iran jejas perdagangan negara

KUALA LUMPUR - Konflik peperangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran akan memberi risiko kepada aliran perdagangan dan ekonomi negara dunia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara juga tidak terlepas menerima impak daripada peningkatan aktiviti ketenteraan yang berterusan itu meskipun terlalu awal untuk dinilai.
"Kapal nak masuk (pelabuhan) tak boleh semalam, berapa banyak penerbangan perlu berpatah balik dan ada tidak boleh diteruskan.
"Ini merupakan salah satu gangguan kepada ekonomi negara dan dunia.
"Apabila ada peperangan sebegitu rupa sudah tentu menyebabkan risiko yang tinggi dan perdagangan akan tergendala atau mungkin melalui jalan lebih jauh daripada laluan biasa," katanya.

Beliau mengulas demikian selepas merasmikan program Sentuhan Ramadan: Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Cermin Mata Belia Sekolah, Majlis Berbuka Puasa di Madrasah Rajaiyah, Kampong Bharu di sini pada Ahad.
Terdahulu, media melaporkan konflik peperangan negara Iran dan AS menjejaskan operasi lapangan terbang dan akan menimbulkan kesan jangka masa pendek yang ketara terhadap penerbangan dunia dengan agregat kos industri mungkin mencecah lebih AS$1 bilion jika situasi menjadi semakin buruk.
Ribuan penerbangan Timur Tengah terpaksa dibatalkan manakala ruang udara rantau itu turut ditutup selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat dengan Israel menyifatkannya sebagai 'serangan awal' terhadap musuh ketatnya bagi 'menghapuskan ancaman'.
Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau tersebut bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya serta tindakan keras terhadap protes besar-besaran di Iran.
Ringkasan AI
- Konflik peperangan Iran dan Israel mengancam aliran perdagangan dan ekonomi global
- Malaysia juga terjejas dari peningkatan aktiviti ketenteraan antara Iran dan Israel
- Gangguan ini mempengaruhi operasi pelabuhan dan penerbangan, memaksa beberapa untuk dibatalkan atau mengambil laluan lebih jauh
- Konflik ini telah menyebabkan penutupan ruang udara Timur Tengah dan pembatalan ribuan penerbangan
- Ketegangan meningkat setelah AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, memburukkan lagi situasi keselamatan dan ekonomi di rantau itu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
