Covid-19: U Mobile sumbang telefon bimbit, kad sim

Telefon bimbit dan kad SIM dengan data berkelajuan tinggi itu digunakan untuk menghubungi pesakit dalam siasatan dan menjalankan pengesanan kontak utama.
Telefon bimbit dan kad SIM dengan data berkelajuan tinggi itu digunakan untuk menghubungi pesakit dalam siasatan dan menjalankan pengesanan kontak utama.
A
A
A

U MOBILE menyumbangkan 100 unit telefon bimbit dengan kad SIM pascabayar GX68 kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Sungai Buloh iaitu dua hospital utama yang dikhususkan merawat kes koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, telefon bimbit dan kad SIM itu diserahkan kepada kakitangan hospital tersebut semalam.

Katanya, telefon bimbit dan kad SIM dengan data berkelajuan tinggi dan panggilan tanpa had itu akan digunakan untuk menghubungi pesakit dalam siasatan dan menjalankan pengesanan kontak utama.

“U Mobile berterima kasih dan menghargai sokongan dan usaha yang ditunjukkan kumpulan pengamal perubatan di negara ini yang berdepan risiko untuk menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19.

“Oleh itu, kami mahu memberikan apa yang termampu untuk menyokong mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, syarikat telekomunikasi itu menyumbang RM1 juta kepada Kementerian Kesihatan menerusi Rangkaian Tindak Balas Bencana syarikat berkaitan kerajaan.

Selain sumbangan itu, Heang Tuck berkata, U Mobile juga bekerjasama dengan ZTE Corporation dan edotco Group Sdn Bhd untuk mewujudkan tapak rangkaian sementara berhampiran Hospital Sungai Buloh untuk menambah baik liputan di kawasan itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif U Mobile, layari www.u.com.my. - Bernama

Artikel Berkaitan: