Tidak lapor suapan RM5,010, bekas pegawai bank didenda RM12,000

Seorang bekas pegawai bank didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis. Foto hiasan
Seorang bekas pegawai bank didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Khamis. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas pegawai bank didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan tidak melaporkan suapan berjumlah RM5,010 enam tahun lalu.

Tan Chiew Wah, 41, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah diberi suapan wang tunai itu, yang dimasukkan ke akaun bank miliknya daripada akaun sebuah firma guaman.

Ia sebagai upah untuk tertuduh ketika itu sebagai pengurus kumpulan, supaya mencadangkan firma berkenaan bagi menyediakan beberapa dokumen perjanjian pembiayaan perbankan.

Sedangkan ia melanggar peruntukan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau pegawai polis dengan segera.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Kelana Jaya di sini, pada 24 Disember 2019 dan 21 Mei 2020.

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Raymond Nion John Timban sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang bekas pegawai bank didenda RM12,000 atas dua pertuduhan tidak melaporkan suapan RM5,010
  • Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam
  • Tertuduh berisiko dipenjara lapan bulan jika gagal bayar denda
  • Suapan merupakan upah untuk mencadangkan firma guaman bagi dokumen perjanjian pembiayaan
  • Kesalahan melanggar Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, boleh hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM100,000

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!