[VIDEO] Warga emas 71 tahun didakwa bunuh, kerat mayat Lisa

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang anggota badannya ditemui dalam keadaan dikerat di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai, Sepanggar, dua minggu lalu.
Tertuduh, Piluta Samad, 71, mengaku faham sambil mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh pada 11 Februari lalu antara jam 6 petang hingga 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, telah membunuh Hamidah Husin @ Lisa, 44.
Tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), forensik, patologi dan kimia.
Selain itu, tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan dan akan terus ditahan di penjara Kapayan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selepas prosiding selesai, Piluta yang dibawa keluar dari kamar mahkamah kelihatan tenang dan sempat memandang ke arah galeri awam seolah-olah mencari ahli keluarganya.
Sebelum itu, dalam kejadian 12 Februari lalu, beberapa bahagian anggota badan milik wanita yang dikerat ditemui di tempat pembuangan sampah di kawasan tersebut.
Dalam kejadian itu, suspek dipercayai tunang mangsa, telah ditahan pada hari sama.
Tiga lagi individu, anak suspek utama yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita, turut ditahan untuk membantu siasatan.
Setakat ini, dua lagi anggota badan mangsa, iaitu bahagian kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemui.
Ringkasan AI
- Lelaki warga emas didakwa membunuh wanita, badan dikerat dan dibuang di tempat sampah
- Piluta Samad, 71, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu atas pembunuhan
- Kejadian pembunuhan berlaku pada 11 Februari di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar
- Tertuduh tidak ditawarkan jaminan, akan ditahan di penjara Kapayan
- Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April untuk mendapatkan laporan forensik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
