Lelaki pandu lori lawan arus sejauh 150km ditahan

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah lori dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Beruntung.
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah lori dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Beruntung.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan nekad seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan memandu secara melawan arus sejauh 150 kilometer, mengundang padah apabila ditahan di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung, Hulu Selangor, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pusat kawalan sebelum itu menerima panggilan daripada unit kereta peronda (MPV) pada 5.35 pagi yang memaklumkan tentang sebuah lori dipandu lelaki berusia 40 tahun enggan berhenti apabila diarahkan.

“Pemandu terbabit telah memandu keluar ke arah Lebuhraya Utara Selatan melalui Tol Bukit Beruntung dan memandu melawan arus sejauh 150 kilometer melibatkan laluan menghala ke Tol Tanjung Malim dan Tol Sungai Buloh sebelum berpatah balik ke Tol Bukit Beruntung.

“Selain memandu secara berbahaya, lelaki itu juga cuba melanggar kenderaan MPV ketika anggota cuba memberhentikan lori tersebut di kawasan berhampiran Tol Bukit Beruntung,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun tiga MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor berjaya memintas dan menahan pemandu lori itu di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung.

Ibrahim berkata, hasil saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis syabu serta mempunyai dua rekod melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

Pemandu lori berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baharu pada Isnin untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video berdurasi 23 saat menerusi media sosial memaparkan sebuah lori dipandu secara melawan arus di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Bukit Beruntung sehingga hampir menyebabkan kemalangan. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Lelaki cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan memandu melawan arus sejauh 150 kilometer
  • Ditahan di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung, Hulu Selangor
  • Pemandu lori itu berusia 40 tahun dan enggan berhenti apabila diarahkan oleh polis
  • Hasil saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis syabu
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!