Yuran tadika Islam, taska asuhan dikecuali tiga bulan: MAIWP

Syed Hussien Alhabshee
Syed Hussien Alhabshee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melaksanakan pengecualian bayaran yuran tadika Islam dan taska asuhan kanak-kanak di bawah MAIWP bermula April sehingga Jun.

Selain itu, sebanyak RM34.13 juta zakat diluluskan bagi membantu mereka yang memerlukan di Wilayah Persekutuan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee dalam satu kenyataan berkata, inisiatif terbaharu itu untuk meringankan beban rakyat berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

“Terdapat 79 buah Tadika Islam MAIWP di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan dua buah taska asuhan iaitu Taska Darul Hannan.

"Pengecualian bayaran yuran bulanan April hingga Jun ini akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 ibu bapa dengan impak kewangan hampir RM1 juta,” katanya.

Syed Hussien berkata, MAIWP sebelum ini telah meluluskan 10 bentuk bantuan sejak PKP berkuat kuasa pada 18 Mac lepas menerusi misi #MusaadahCOVID19 yang digerakkan agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Antara bantuan yang diluluskan adalah pembayaran Bantuan Kewangan Bulanan bagi Mac diawalkan dari 25 Mac ke 19 Mac berjumlah RM9.67 juta kepada 24,196 asnaf, penyaluran Bantuan Zakat Khas Tambahan RM500 kepada setiap penerima yang sama pada awal April 2020 bernilai RM12.1 juta dan bantuan peralatan pernafasan kepada tujuh buah hospital bernilai RM3.27 juta;

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bantuan makanan harian kepada petugas barisan hadapan hospital, pelajar dan penghuni institusi perlindungan berjumlah RM49,000, bantuan 100 set bantal dan tilam bagi Pusat Khas Gelandangan berjumlah RM15,000.

Manakala bantuan Zakat Kecemasan kepada yang terjejas pendapatan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta, bantuan penutup hidung dan mulut, termometer dan cecair pembasmi kuman menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bernilai RM5.05 juta;

Bantuan kepada Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) bernilai RM50,000, bantuan kepada pelajar Wilayah Persekutuan di Mesir bernilai RM20,000 dan bantuan kepada Yayasan Kaseh Kanser & Kronik sebanyak RM20,000.

Syed Hussien berkata, MAIWP menerusi Skuad Jejak Asnaf Baitulmal juga turun padang bagi membantu keluarga yang terputus keperluan harian dan perbelanjaan akibat PKP yang antaranya dua buah keluarga di Kampung Melayu Kepong pada 31 Mac lepas. - Bernama