29 April pengurusan kes Apandi Ali saman Kit Siang

Mohamad Apandi Ali, Lim Kit Siang
Mohamad Apandi Ali, Lim Kit Siang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini, menetapkan tarikh baharu bagi pengurusan kes saman RM10 juta oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana didakwa memfitnahnya dalam satu artikel berhubung dakwaan penglibatannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Harshaan Zamani, yang mewakili Kit Siang memberitahu Bernama, pengurusan kes itu ditetapkan pada hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar, bagaimanapun ia dilapangkan berikutan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 29 April untuk pengurusan kes seterusnya.

Tarikh perbicaraan pula telah ditetapkan ketika prosiding sebelum ini iaitu pada 28 hingga 30 September dan 1 hingga 2 Oktober.

ARTIKEL BERKAITAN: Apandi Ali saman Kit Siang RM10 juta

Pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah terhadap Kit Siang dan berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 6 Mei 2019, Kit Siang telah menulis dan menyebabkan penyiaran atau penerbitan artikel bertajuk 'Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity’ dalam portal berita Malaysiakini.

Beliau mendakwa, perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan telah bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya sebagai peguam negara pada masa itu.

Mohamed Apandi yang dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018 menegaskan bahawa perkataan-perkataan fitnah itu adalah tidak benar dan sengaja ditulis dengan niat untuk mencemarkan imej dan kredibilitinya sebagai bekas Peguam Negara Malaysia demi mendapatkan publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta ganti rugi am sebanyak RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Kit Siang, pekerja, ejen atau mana-mana pihak daripada menerbitkan semula perkataan fitnah dalam artikel berkenaan selain menuntut kos dan relief lain yang sesuai daripada mahkamah. - Bernama

Artikel Berkaitan: