Singapura tahan dua rakyat Malaysia selepas elak pemeriksaan, rampas dadah

SINGAPURA - Pihak berkuasa Singapura menahan dua lelaki rakyat Malaysia yang menaiki sebuah kereta berdaftar di Malaysia selepas cuba mengelak pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
ICA memaklumkan kedua-dua individu itu ditahan pada 22 Februari lalu selepas kenderaan berkenaan memecut melalui satu lorong dan merosakkan palang penghadang di zon ketibaan kargo, selepas ia masuk semula ke Pusat Pemeriksaan Tuas susulan cubaan terdahulu yang gagal pada hari sama.
Menurut ICA, pegawai segera mengepung kenderaan itu dan menahan pemandu berusia 40 tahun serta penumpang berusia 53 tahun, dengan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
"Sejumlah kira-kira 97 gram (g) heroin, 69 g "ice”, tiga biji pil Erimin-5, 27 pil dipercayai mengandungi dadah terkawal serta pelbagai peralatan dadah ditemukan pada pemandu dan di dalam sebuah beg kecil di bawah tempat duduk penumpang hadapan.”
"Pemandu itu juga tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika kejadian,” menurut ICA dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut ICA, kedua-dua lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat bagi siasatan berkaitan kesalahan dadah.
Pemandu berkenaan turut disiasat atas pelbagai kesalahan imigresen serta oleh Polis Trafik kerana memandu secara melulu dan kesalahan lalu lintas lain, tambahnya. - Bernama
Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Singapura menahan dua lelaki rakyat Malaysia yang menaiki sebuah kereta berdaftar di Malaysia selepas cuba mengelak pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas
- Kedua-dua individu itu ditahan pada 22 Februari selepas kenderaan mereka merosakkan palang penghadang di zon ketibaan kargo
- Pegawai mengepung kenderaan tersebut dan menahan pemandu berusia 40 tahun serta penumpang berusia 53 tahun tanpa kecederaan
- Ditemukan kira-kira 97 gram heroin, 69 g "ice", tiga biji pil Erimin-5, 27 pil dadah terkawal dan peralatan dadah di dalam kereta
- Pemandu itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat atas kesalahan imigresen serta oleh Polis Trafik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
