12 pegawai, anggota polis disiasat kes rompakan berkumpulan mata wang kripto

Shazeli
Shazeli
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 12 anggota dan pegawai polis disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana disyaki terbabit dalam kes samun membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata laporan diterima pihaknya pada jam 2.07 petang, 6 Februari lalu.

"Tindakan segera diambil dan seramai 12 anggota polis telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Kes masih dalam siasatan dan Polis Selangor menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, orang ramai diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Difahamkan, mereka yang ditahan masing-masing terdiri daripada seorang berpangkat asisten superintenden, inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

Sebelum itu, media tempatan melaporkan sepasukan pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial daerah menyerbu sebuah banglo dua tingkat di Country Heights, Kajang, pada 5 Februari lalu selepas disyaki terdapat aktiviti penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.

Bagaimanapun, dikatakan tiada bukti kegiatan jenayah ditemukan di lokasi terbabit.

Mangsa kemudian dikatakan diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit.

Artikel Berkaitan:

Selepas rundingan, anggota polis terbabit didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto) yang dipindahkan ke alamat dompet kripto yang diberikan.

Penahanan dibuat susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang juru ukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa dia dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto terbabit.

Tangkapan kesemua 12 anggota itu dilakukan selepas beberapa hari laporan dibuat.

 

 

Ringkasan AI

  • Seramai 12 anggota dan pegawai polis disiasat atas kecurigaan terbabit dalam rompakan berkumpulan
  • Disyaki menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto daripada warga China
  • Penahanan mencakup pelbagai pangkat dari asisten superintendan hingga konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun
  • Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, mengesahkan penangkapan dan siasatan masih berlangsung
  • Penahanan dibuat berdasarkan laporan polis oleh warga China yang mendakwa dipaksa memindahkan mata wang kripto

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!