Peniaga didakwa enam pertuduhan tipu RM782,380 francais Bubblebee palsu

ALOR SETAR – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas enam pertuduhan menipu membabitkan jumlah RM782,380 yang didakwa dilakukan antara 2022 hingga 2023.
Mohamad Jaylani Sheikh Mohamad, 47, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Eliana Ismail dan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Di Mahkamah Majistret 2, tertuduh menghadapi tiga pertuduhan yang berjumlah RM450,540.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohamad Jaylani didakwa menipu Nurbahiyah Md Salleh dengan memperdayakan wanita itu supaya menyerahkan wang RM83,500 bagi tujuan modal perniagaan francais Bubblebee yang didakwa tidak wujud antara 28 Mac hingga 15 April 2023.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperdayakan Noor Ashikin Yusoff sehingga menyerahkan wang RM362,000 bagi tujuan sama antara 9 Mei hingga 13 Jun 2023.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menyerahkan sekeping cek tidak laku bernilai RM5,040 kepada Mohd Syahid Qayyum Zahkai sebagai bayaran pembelian 500 cawan minuman Bubblebee yang kononnya untuk disumbangkan kepada beberapa premis dan sekolah sekitar Alor Setar pada 12 Ogos 2023.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 3 pula, Mohamad Jaylani berdepan tiga lagi pertuduhan membabitkan jumlah sebanyak RM331,840.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Mazita Che Omar dengan memperdayakan wanita itu supaya menyerahkan wang RM250,500 bagi tujuan modal perniagaan francais Bubblebee yang didakwa tidak wujud antara 1 Januari hingga 24 Mac 2023.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdayakan Nidzomuddin Ismail supaya menyerahkan RM55,000 menerusi tawaran pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif CEO dan pelaburan dalam sebuah syarikat yang didakwa tidak wujud antara 27 Ogos hingga 1 September 2023 di sebuah restoran di Ampang Business Centre di sini.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan dakwaan menipu Ahmad Akashah Mohamed berhubung urusan penjualan kereta jenis Mercedes model Indonesia sehingga mangsa menyerahkan wang RM26,340, antara 17 hingga 28 Mac 2022 di cawangan Maybank Alor Setar di Alor Setar.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan sebat dan denda.
Pendakwaan di Mahkamah Majistret 2 dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohamad Zakri Che Idris, Mahkamah Majistret 3 pula oleh Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar dan tertuduh diwakili peguam Ainunhawa Azhar di kedua-dua mahkamah.
Pada prosiding tersebut, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret 3 kerana tertuduh turut berdepan lima pertuduhan lain, namun memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa sekiranya jaminan dibenarkan.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu supaya mahkamah mengenakan jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Menurutnya, anak guamnya mempunyai tanggungan isteri serta tiga anak berusia 25, 20 dan 18 tahun yang masih belajar.
Katanya, anak bongsu tertuduh turut menghidap kencing manis tahap dua, manakala anak sulungnya hadir dari Melaka untuk menjadi penjamin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan RM24,000.
Mahkamah mengenakan syarat supaya tertuduh tidak mengganggu atau menghampiri mangsa dan menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

