Siasatan penuh, telus anggota langgar undang-undang - Maritim Malaysia

Mohd Rosli (kanan) menegaskan siasatan penuh dan telus terhadap pegawai atau anggotanya yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang.
Mohd Rosli (kanan) menegaskan siasatan penuh dan telus terhadap pegawai atau anggotanya yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang.
A
A
A

SHAH ALAM – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan penuh dan telus terhadap mana-mana pegawai atau anggotanya yang didapati melanggar peraturan atau undang-undang.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, setiap dakwaan salah laku akan disiasat sewajarnya tanpa campur tangan mana-mana pihak.

"Tindakan ini membuktikan Maritim Malaysia mengekalkan kepercayaan rakyat, selaras dengan prinsip profesionalisme dan akauntabiliti yang ditegaskan Perdana Menteri.

“Tanpa integriti, kepercayaan rakyat akan terhakis. Maritim Malaysia komited memastikan semua anggota melaksanakan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi menyambut penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa setiap aduan terhadap penjawat awam mesti disiasat mengikut undang-undang.

Sebagai rekod, sepanjang 2025, Maritim Malaysia menyiasat 19 kes salah laku pegawai dan anggota yang melibatkan rasuah, tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah serta pelanggaran tatakelakuan perkhidmatan awam.

Mohd Rosli berkata, daripada jumlah itu, tiga pegawai telah dibuang kerja.

"Selebihnya, iaitu tiga ditangguh pergerakan gaji, sembilan dikenakan amaran, manakala empat pegawai lain dibebaskan selepas prosiding dan siasatan lengkap dijalankan," ujarnya.

Sebelum itu, Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya pada Khamis menegaskan sebarang aduan terhadap mana-mana pegawai awam mestilah disiasat dengan teliti mengikut lunas undang-undang, bukannya dibuat berasaskan persepsi atau dorongan politik.

Artikel Berkaitan:

Malah, Anwar menegaskan siasatan yang dijalankan juga tidak boleh dilaksanakan secara tergopoh-gopoh.

Ringkasan AI

  • Maritim Malaysia akan menyiasat sebarang salah laku pegawai dengan penuh dan telus
  • Ketua Pengarah menekankan siasatan tanpa campur tangan pihak lain untuk kekal kepercayaan rakyat
  • Komited memastikan anggota bertindak dengan amanah dan bertanggungjawab
  • Sepanjang tahun 2025, Maritim Malaysia menyiasat 19 kes salah laku
  • Tiga pegawai dibuang kerja, dan beberapa lainnya menerima tindakan disiplin berbeza berdasarkan siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!