Abdul Rashid Hussain dilantik semula sebagai Pengerusi TH

Abdul Rashid
Abdul Rashid
A
A
A

 

KUALA LUMPUR - Kerajaan melantik semula Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 20 Disember 2025.

TH dalam kenyataan berkata pelantikan itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap kepimpinan Abdul Rashid yang telah memacu pembaharuan strategik dan tadbir urus yang signifikan kepada institusi berkenaan.

"Sejak menerajui TH pada 20 Disember 2023, Abdul Rashid telah memacu beberapa pencapaian utama, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit.

"Ini dibuktikan melalui kejayaan TH mencatat keuntungan yang memberangsangkan dan memastikan pengagihan dividen yang kompetitif dan mampan," kata kenyataan berkenaan.

Bagi tahun kewangan 2024, TH mencatat keuntungan berjumlah RM2.92 bilion dan berjaya meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kepada kira-kira RM95.06 bilion.

TH turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Musim Haji 1446H/2025M iaitu pengiktirafan tertinggi bagi agensi pengurusan haji.

Sementara itu, Abdul Rashid dalam kenyataan sama merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar atas kepercayaan yang diberikan untuk meneruskan transformasi TH.

"Saya bersyukur dan amat berbesar hati atas peluang untuk terus menabur bakti bersama-sama warga TH yang cukup komited ke arah memperkukuh kedudukan kewangan TH supaya lebih mampan dan lestari melalui usaha penambahbaikan dan inovasi untuk terus mengembangkan dana pendeposit serta memudahkan urusan para jemaah dalam menunaikan ibadah haji.

Artikel Berkaitan:

"Matlamat kami adalah untuk memperkukuh TH sebagai sebuah institusi simpanan Islam yang dihormati. Ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya TH sentiasa menambah baik tatakelola dan tadbir urus agar memberi manfaat kepada para pendeposit,” katanya

Abdul Rashid dilantik sebagai Pengerusi TH pada 20 Disember 2023 untuk tempoh dua tahun sebelum disambung bagi penggal baharu bermula 20 Disember 2025 sehingga 19 Disember 2027. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Abdul Rashid dilantik semula sebagai Pengerusi Tabung Haji hingga 19 Disember 2027
  • Pelantikan menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap kepimpinan Abdul Rashid yang telah memacu pembaharuan strategik
  • Sejak 2023 Abdul Rashid memperkukuh kedudukan kewangan TH dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit
  • Pada tahun kewangan 2024 TH mencatat keuntungan RM2.92 bilion dan aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM95.06 bilion
  • TH dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Musim Haji 1446H/2025M

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!