Pekerja CIMB disahkan positif Covid-19

CIMB mengesahkan seorang kakitangannya yang berkhidmat di Menara UAB, Jalan Tun Perak disahkan positif Covid-19. - Foto sumber internet
CIMB mengesahkan seorang kakitangannya yang berkhidmat di Menara UAB, Jalan Tun Perak disahkan positif Covid-19. - Foto sumber internet
A
A
A

KUALA LUMPUR - CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) mengesahkan seorang kakitangannya yang berkhidmat di Menara UAB, Jalan Tun Perak disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menurut satu kenyataan, kakitangan itu kini sedang mendapatkan rawatan di hospital awam dan proses untuk menjejak kontak rapat sedang dilakukan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan.

"Semua kontak rapat dengan pekerja yang dijangkiti itu akan diletakkan bawah kuarantin di rumah sehingga mendapat pelepasan perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, cawangan Menara UAB telah ditutup bagi membolehkan prosedur pembersihan dan sanitasi dapat dilakukan.

"Ingatan kami sentiasa bersama dengan petugas barisan hadapan dan kami berusaha untuk memastikan perkhidmatan penting untuk pelanggan kami berjalan dengan lancar," katanya.

Jelas kenyataan itu, pihak CIMB telah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan pelanggan dan kakitangan, termasuk polisi deklarasi perjalanan mandatori, kebersihan serta langkah penjarakan sosial di ibu pejabat dan cawangan.

Sehubungan itu, CIMB menasihatkan agar pelanggan menggunakan khidmat dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jika ada sebarang keperluan untuk mengunjungi cawangan CIMB, pelanggan dinasihatkan melayari laman web https://www.cimbbank.com.my/en/personal/support/locate-us.html.

Artikel Berkaitan: