Pemain bola sepak didenda RM800 ingkar PKP

Lima daripada enam tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana ingkar PKP.
Lima daripada enam tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana ingkar PKP.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pemain bola sepak profesional dari sebuah kelab amatur tempatan didenda RM800 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat lalu.

Ahmad Lutfi Azizul Rahman, 22, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, anggota polis yang membuat rondaan di sekitar kondominium di Taman bukit Indah, Ampang menegur tertuduh yang melakukan senaman berdekatan kolam renang.

Tertuduh mengeluarkan suara seperti tidak puas hati dan melakukan provokasi selepas diarahkan untuk berada di rumah.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 5.15 petang hari yang sama kemudiannya ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara itu, di mahkamah sama, lima lelaki termasuk dua warga Indonesia didenda RM600 atau penjara sebulan kerana ingkar PKP minggu lalu.

Penganggur, Diviyan Elangko, 18; kakitangan khidmat pelanggan, C S Divyaanaidu, 27; peniaga, Putera Hang Jebat Mohammad, 32; pemotong rumput warga Indonesia, Sahirul Anan, 40, dan Sunardi, 38; mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mereka ditahan di lokasi berbeza sekitar Taman Cheras Indah, Wangsa Melawati dan Taman Ukay Perdana pada jam 2 petang hingga 945 malam, antara 26 hingga 29 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashima Hashim dan kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.