Tak perlu tergesa-gesa, semakan bantuan Prihatin Nasional sehingga 30 April

Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai tidak perlu berpusu-pusu untuk membuat semakan kelayakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana ia boleh dibuat pada bila-bila masa sehingga 30 April ini.

Perkara itu dimaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya hari ini.

Ia berikutan aliran trafik yang amat tinggi di laman rasmi portal itu susulan semakan dan permohonan bagi mendapatkan BPN bagi golongan B40 dan M40 itu telah dibuka bermula hari ini, sebahagian daripada inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

“Pemohon diminta bersabar, kami sedang mengambil tindakan mengatasi masalah tersebut,” menurut ciapan itu.

Berdasarkan semakan Bernama di media sosial, rata-rata netizen menyuarakan masalah kesukaran mereka berikutan terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengakses laman portal itu sejak awal pagi tadi.

Dalam ciapan berasingan, LHDN turun memaklumkan penerima BSH 2020 layak menerima BPN secara automatik dan tidak perlu membuat permohonan. Bayaran akan dibuat pada bulan April dan Mei ini.

Pemberian BPN secara one-off bagi golongan B40 adalah berdasarkan pangkalan data BSH, manakala bagi golongan M40 adalah berdasarkan data percukaian LHDN.

Sebelum ini LHDN memaklumkan Hasil Care Line (HCL) akan beroperasi semula mulai 30 Mac bagi menjawab pertanyaan berkaitan BPN dan isu-isu percukaian.

Artikel Berkaitan:

HCL akan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari Ahad hingga Jumaat.

Menurut LHDN, nombor HCL ialah 03-8911 1000 atau +603-8911 1100 bagi mereka yang berada di luar negara.

Selain itu, LHDN memaklumkan talian BSH iaitu 1800-88-2747 akan turut beroperasi untuk menjawab sebarang pertanyaan berkenaan BSH. - Bernama