Bazar Ramadan di KL perlu dibatalkan: AMM

Barisan Kepemimpinan Akademi Perubatan Malaysia (APM) 2019/2020
Barisan Kepemimpinan Akademi Perubatan Malaysia (APM) 2019/2020
A
A
A

SHAH ALAM - Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menolak sebarang penganjuran bazar Ramadan di ibu negara tahun ini dan menggesa ia dibatalkan mengambil kira ancaman wabak koronavirus (Covid-19) yang masih berterusan.

Dalam satu kenyataan, akademi terdiri daripada 11 kolej pelbagai pakar perubatan itu berkata, mustahil untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mampu menjamin perlaksanaan penjarakan sosial dengan berkesan.

"Kami merujuk kepada laporan media Menteri Wilayah Persekutuan (Tan Sri Annuar Musa) yang berkata tidak akan membatalkan bazar Ramadan, tetapi akan menguruskan 'lalu lintas manusia' secara lebih baik.

"Walau bagaimanapun, pada pendapat kami mustahil untuk melakukan penjarakan sosial memandangkan populariti dan kesesakan bazar Ramadan.

"Kontak rapat tidak dapat dielakkan berlaku di kawasan tempat letak kereta, dalam perjalanan (ke bazar dan balik ke parkir) dan antara pelanggan dan peniaga," katanya.

Akademi Perubatan Malaysia juga menekankan kelonggaran penjarakan sosial yang masih terlalu awal berpotensi membawa kepada gelombang ketiga jangkitan Covid-19 sedangkan banyak usaha dibuat bagi mengatasi jangkitan sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

"Kadar harian kes baharu kini masih dalam tiga angka sehari (melebihi 120), menunjukkan jangkitan yang tersebar secara berterusan dalam komuniti tanpa mengetahui dari mana jangkitannya.

"Oleh itu, kami menggesa menteri untuk memastikan bahawa 'perniagaan tidak diteruskan seperti biasa'. Sebaliknya alternatif seperti bazar Ramadan dalam talian dengan perkhidmatan penghantaran perlu dipromosikan untuk mengurangkan risiko jangkitan dan meminimumkan kesan ekonomi kepada peniaga kecil.

Artikel Berkaitan:

"Banyak pengorbanan telah dan terus dibuat pada tahun ini. Peperangan melawan Covid-19 jauh dari kita dan kita perlu terus bertahan agar dapat menikmati lebih banyak Ramadan yang akan datang. Kekalahan perang ini bukan pilihan," katanya.

Semalam, media melaporkan Annuar berkata penganjuran bazar Ramadan akan disusun semula bagi mengelakkan berlakunya kesesakan pengunjung.

Katanya, bazar Ramadan tidak akan dibatalkan, sebaliknya akan diuruskan berdasarkan keperluan masyarakat bandar.