Sesko penyelamat maruah United

Sesko (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat United ketika menentang West Ham United. Foto AFP
Sesko (kiri) menjaringkan gol penyamaan buat United ketika menentang West Ham United. Foto AFP
A
A
A

PEMAIN gantian, Benjamin Sesko muncul wira apabila meledak gol penyamaan dramatik pada minit ke-96 untuk menyelamatkan Manchester United daripada aib kekalahan ketika mengikat West Ham United 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London pada Rabu.

Keputusan seri itu menyaksikan The Red Devils kekal di tangga keempat liga dengan mengumpul 45 mata daripada 26 perlawanan.

Manakala bagi West Ham, satu mata yang diraih meletakkan mereka dengan 24 mata, masih ketinggalan dua mata untuk keluar dari zon penyingkiran.

Dalam perlawanan tersebut, Tomas Soucek meletakkan West Ham di depan seawal lima minit babak kedua bersambung.

Tuan rumah kelihatan hampir pasti meraih tiga mata berharga sehinggalah penyudah bijak Sesko pada masa kecederaan meremukkan hati penyokong The Hammers.

Keputusan itu turut menamatkan rentetan empat kemenangan berturut-turut United, sekali gus menyaksikan pengurus sementara, Michael Carrick kehilangan mata pertamanya sejak mengambil alih tugas.

Ia merupakan malam yang mengecewakan bagi skuad yang sedang memburu slot Liga Juara-Juara itu sebelum jaringan lewat Sesko mengubah nasib mereka.

Pelawat hanya merekodkan tiga percubaan tepat sepanjang perlawanan tatkala West Ham bertahan dengan baik, namun dominasi penguasaan bola United pada 15 minit terakhir memberi bayangan gol yang dinanti-nantikan bakal tiba.

Sebagai amaran awal, tandukan pemain gantian United, Joshua Zirkzee tersasar sedikit sebelum gol penyamaan itu menjelma.

Artikel Berkaitan:

United hampir membuka tirai jaringan pada pertengahan separuh masa pertama apabila rembatan Luke Shaw menuju ke gawang, namun Aaron Wan-Bissaka bertindak cemerlang mengeluarkan bola di atas garisan gol menentang bekas kelabnya.

West Ham memecah kebuntuan apabila Soucek menyambar hantaran lintang rendah Jarrod Bowen dari jarak dekat.

Casemiro sempat menggegarkan jaring menerusi tandukan hasil hantaran Kobbie Mainoo namun dibatalkan kerana ofsaid.

Ketika pelawat ghairah memburu gol, West Ham mensia-siakan beberapa peluang untuk menambah jaringan menerusi serangan balas.

Gol penyamaan akhirnya terhasil apabila hantaran rendah berbahaya Bryan Mbeumo disudahi dengan voli memukau oleh Sesko, sekali gus mengecewakan pengurus West Ham, Nuno Espirito Santo.

Ringkasan AI

  • Benjamin Sesko jadi wira Manchester United dengan gol penyamaan pada minit ke-96 lawan West Ham
  • Keputusan seri membuat Manchester United kekal di tangga keempat liga dengan 45 mata
  • West Ham mendapat satu mata, masih tertinggal dua mata dari keluar zon penyingkiran
  • Tomas Soucek membuka skor untuk West Ham pada babak kedua
  • Gol penyamaan Manchester United datang dari voli memukau Sesko menyudahi hantaran rendah Bryan Mbeumo

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!