X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki ditahan terbabit kes samun

Shamsul Amar Ramli
A
A

KLANG - Dua lelaki yang dicari polis berhubung siasatan kes samun di sebuah rumah berjaya ditahan dalam tangkapan berasingan di daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 6 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di Jalan Hassan dan Jalan Telok Gadong.

"Pemeriksaan mendapati dua lelaki berusia 18 dan 32 tahun itu masing-masing memiliki rekod lampau kes dadah dan jenayah.

"Ujian saringan air kencing juga mengesahkan kedua mereka didapati positif syabu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Amar berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-dua lelaki terbabit akan direman tindakan lanjut.

Pada 23 Mac lalu, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi di Jalan Kampung Sungai Udang, Klang, mangsa seorang wanita Kemboja berusia 30 tahun yang sedang berada di rumahnya bersama anak perempuannya berusia dua tahun telah didatangi empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan tukul besi.

Dua suspek bertindak masuk ke dalam rumah manakala dua lagi suspek menunggu di tepi jalan.

Suspek kemudian telah bertindak merampas telefon bimbit mangsa dan terus melarikan diri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus