Ucapan suntik semangat rakyat

A
A
A
MENDENGAR perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen pada Rabu lepas nyata telah menyuntik semangat serta kekuatan rakyat yang sedang bergelut dengan ancaman penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri berucap dalam nada kasual menjelaskan satu demi satu mengapa kerajaan perlu melanjutkan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan meminta kerjasama sepenuhnya daripada setiap lapisan rakyat.

Cara penyampaian beliau yang bersahaja tetapi formal menarik dan dilihat berjaya menyampaikan mesej kepada rakyat agar duduk di rumah sehingga PKP berakhir.

Paling berkesan apabila Perdana Menteri mengulangi penggunaan frasa ‘stay at home’ yang menjadi kata kunci kepada sekalian rakyat agar sama-sama membantu memerangi penularan wabak berkenaan. Pada situasi sedang berperang ketika ini, suntikan kata-kata tersebut adalah kekuatan buat kita semua.

Ia sama seperti ucapan Perdana Menteri Britain, Winston Churchill yang meniupkan kata-kata semangat kepada rakyatnya ketika menghadapi ancaman Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua. Britain pada masa itu berada pada keadaan amat genting.

Frasa ucapan beliau ‘we will never surrender’ adalah paling diingati. Ia diucapkan secara spontan di Parlimen pada 4 Jun 1940 iaitu selepas pengunduran tragis tentera British dari Dunkirk, Perancis. Antara lain ucapan ini berbunyi;

“Walaupun beberapa negara di Eropah satu demi satu jatuh ke tangan Gestapo dan kini dikuasai Nazi, namun kita tidak akan tumbang atau tewas. Kita akan berjuang habis-habisan, kita akan berjuang di Perancis, di laut, kita akan melawan dengan penuh keberanian di udara, kita akan pertahankan pulau-pulau dengan apa cara sekali pun, kita akan berjuang di pantai, di darat dan juga di jalan-jalan serta di mana sahaja. Kita tidak akan menyerah.”

Churchill memberi gambaran kepada rakyat Britain situasi perang yang dihadapi dan memberi amaran bahawa negara itu akan ditewaskan Nazi sekiranya rakyat tidak bersatu-padu melawan musuh.

Penduduk di kota London misalnya menerima kesan paling teruk sepanjang enam tahun peperangan ini. Kira-kira 100,000 kediaman musnah dibom manakala sejuta mengalami kerosakan. Lebih 80,000 penduduk menjadi korban perang di mana satu daripada 10 yang terkorban adalah kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Selain kepada catuan makanan, ribuan penduduk kota London juga terpaksa berlindung di dalam kubu sekiranya siren serangan udara dibunyikan.

Sebab itu, ucapan kata-kata semangat Churchill sebagai Perdana Menteri yang juga komander perang telah mengembalikan keyakinan rakyat Britain melawan Nazi Jerman.

Jeneral George S Patton, komander tentera Amerika Syarikat (AS) semasa Perang Dunia Kedua pula antara tokoh yang dikenali dengan ucapan kata-kata semangat bagi meniupkan keberanian anggota tenteranya.

Beliau menyampaikan ucapan secara spontan sekali gus karektor kepimpinan ini dilihat oleh anak-anak buahnya sebagai cukup meyakinkan sebagai komander perang. Antara ucapan bersemangat beliau di hadapan tenteranya ialah;

“Orang Amerika sukakan kemenangan dan tidak akan menerima kekalahan. Orang Amerika bersukan untuk menang sepanjang masa. Sebab itu orang Amerika tidak pernah dan tidak akan tewas mana-mana peperangan. Tewas adalah perkara yang paling dibenci oleh orang Amerika.”

Patton menggunakan ucapan-ucapan seperti ini sebagai motivasi serta suntikan semangat bagi mengelakkan tenteranya hilang keyakinan semasa berperang.

Semasa pendaratan di Normandy, Perancis pada Julai 1944, beliau memimpin Kor Tentera Darat AS Ketiga yang tidak mempunyai pengalaman di medan tempur. Di bawah kepimpinannya, pasukan ini mengasak pertahanan Jerman sedikit demi sedikit pada bulan-bulan terakhir kempen Perang Dunia Kedua di Eropah.

Kejayaan hebat paling diingati pasukan ini apabila membolosi pertahanan Jerman menyelamatkan tentera yang terkepung di Bastogne semasa Pertempuran Bulge di Belgium.

Sebab itu dalam menghadapi situasi getir, ucapan seseorang pemimpin memainkan peranan penting selain karisma kepimpinan beliau sama sepertimana seorang komander tentera di medan tempur. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan suntikan kata-kata semangat. Beliau juga adalah komander perang.

* Zaki Salleh merupakan penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu.