Murid Tahun Enam, bapa saudara maut dalam perjalanan sekolah

KUCHING - Seorang murid lelaki Tahun Enam dan bapa saudaranya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Sri Aman-Lingga, Sri Aman, kira-kira 180 kilometer dari sini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 6.20 pagi tadi itu mengakibatkan penunggang yang berusia 60 tahun dan pembonceng maut di tempat kejadian.
Beliau berkata, mangsa dalam perjalanan menghantar anak buahnya ke Sekolah Kebangsaan Stumbin, Sri Aman dan siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah van berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Pemandu van yang berusia 77 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Mayat dihantar ke Unit Perubatan Forensik hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang murid lelaki Tahun Enam dan bapa saudaranya maut dalam kemalangan motosikal dengan van di Jalan Sri Aman-Lingga
- Kemalangan berlaku kira-kira jam 6.20 pagi
- Mangsa dalam perjalanan menghantar anak buah ke Sekolah Kebangsaan Stumbin
- Van hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
