Pembekuan perolehan: MINDEF mohon pertimbangan jika kesiagaan ATM terjejas

Mohamed Khaled Nordin berucap ketika menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara di MITEC pada Rabu. Foto Bernama
Mohamed Khaled Nordin berucap ketika menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara di MITEC pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memohon pertimbangan kerajaan untuk meneruskan perolehan aset tertentu sekiranya pembekuan semasa didapati menjejaskan operasi dan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun semua perolehan ketika ini dibekukan dan tertakluk kepada kelulusan menteri, keutamaan MINDEF kekal kepada kelangsungan operasi pertahanan negara.

"Sekiranya terdapat perolehan yang berpotensi menjejaskan operasi dan kesiagaan ATM, kita akan merujuk perkara itu kepada kerajaan serta memohon agar perolehan berkenaan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Rabu.

Mohamed Khaled berkata, ATM melaksanakan operasi berterusan bagi menjaga keselamatan perairan strategik negara, termasuk Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu, selain kawalan sempadan darat serta maritim dengan lima negara jiran.

"ATM juga mempunyai penugasan berterusan di pulau-pulau sepanjang pantai timur Sabah bagi menangani ancaman keselamatan dari selatan Filipina. Semua ini merupakan operasi aktif yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan sebarang keputusan perolehan akan dibuat dengan mengutamakan keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara.

Pembekuan semua perolehan oleh MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas sebagai sebahagian langkah penilaian dan penambahbaikan tadbir urus perolehan kerajaan.

"MINDEF memahami keperluan kerajaan untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, namun aspek kesiagaan pertahanan tidak boleh dikompromi. Jika pembekuan ini memberi kesan langsung kepada keupayaan ATM, kita akan mengemukakan permohonan khusus untuk pertimbangan kerajaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memohon pertimbangan kerajaan untuk meneruskan perolehan aset untuk Angkatan Tentera Malaysia jika pembekuan semasa beri kesan operasi
  • Keutamaan MINDEF adalah kelangsungan operasi pertahanan negara walaupun perolehan dibekukan
  • Perolehan yang diperlukan untuk operasi dan kesiagaan ATM akan dirujuk kepada kerajaan
  • ATM menjalankan operasi keselamatan di perairan strategik dan kawalan sempadan
  • MINDEF akan mengemukakan permohonan khusus jika pembekuan perolehan memberi kesan kepada keupayaan ATM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!