Wanita ditumbuk dalam cubaan samun di stesen minyak

Polis buru suspek dalam kejadian cubaan samun di sebuah stesen minyak di TTDI Ahad lalu - Gambar hiasan
Polis buru suspek dalam kejadian cubaan samun di sebuah stesen minyak di TTDI Ahad lalu - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berdepan detik cemas apabila ditumbuk dalam cubaan samun di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chan Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.30 pagi daripada mangsa berusia 25 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi ketika mangsa bersama rakannya berhenti di stesen minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kenderaan.

"Seorang lelaki menaiki motosikal dipercayai menghampiri kenderaan mangsa sebelum cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg tangan yang berada di dalam kenderaan.

"Mangsa bersama rakannya bertindak menghalang suspek daripada membuka pintu kenderaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai ditumbuk suspek pada bahagian tangan dan kepala.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal dan tidak sempat melarikan sebarang barangan berharga atau wang tunai milik mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati motosikal yang digunakan suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah menghasilkan lakaran fotofit suspek yang dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan.

"Usaha mengesan dan memburu suspek sedang giat dijalankan dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita ditumbuk dalam cubaan samun di stesen minyak TTDI
  • Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan berhenti untuk mengisi angin tayar
  • Suspek menaiki motosikal cuba membuka pintu kereta untuk mengambil beg tangan
  • Mangsa dipercayai ditumbuk pada bahagian tangan dan kepala tetapi suspek tidak berjaya mengambil apa-apa
  • Polis mengeluarkan lakaran fotofit suspek dan sedang giat mencari untuk membuat tangkapan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!