Nilai rupiah jatuh, kebimbangan terhadap kebebasan Bank Pusat meningkat

JAKARTA – Nilai rupiah Indonesia mencatat paras terendah sepanjang sejarah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu, (20 Januari 2026), meskipun indeks dolar AS menunjukkan trend melemah di pasaran global, lapor BBC News Indonesia pada Khamis.
Penyusutan mata wang itu berlaku ketika kebimbangan semakin memuncak terhadap kebebasan Bank Indonesia (BI), susulan pencalonan anak saudara Presiden Prabowo Subianto, Thomas Djiwandono, sebagai calon Timbalan Gabenor bank pusat berkenaan.
Sepanjang Januari, rupiah telah merosot kira-kira dua peratus berbanding dolar AS, menjadikannya mata wang berprestasi paling lemah dalam kalangan negara pasaran pesat membangun Asia.
Secara kumulatif, rupiah mencatat penyusutan sebanyak 3.5 peratus sepanjang 2025.
Pada dagangan harian 20 Januari, nilai rupiah jatuh ke paras rekod 16,985 rupiah bagi setiap dolar AS.
Bagaimanapun, pada Khamis (22 Januari), mata wang itu menunjukkan sedikit pemulihan apabila mengukuh kepada sekitar 16,936 rupiah.
Paras terbaharu itu lebih lemah berbanding krisis kewangan Asia 1998, apabila rupiah mencecah sekitar 16,800 rupiah secara dagangan harian, manakala ketika krisis kewangan global 2008, nilai mata wang itu berada pada sekitar 12,600 rupiah berbanding dolar AS.
Menurut laporan agensi berita Reuters, rupiah secara sejarahnya amat sensitif terhadap sentimen pasaran global.
Namun, faktor domestik turut memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pergerakan mata wang tersebut sejak setahun lalu.
Data Januari 2026 menunjukkan pentadbiran Presiden Prabowo merekodkan defisit belanjawan 2025 sebanyak 2.92 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bersamaan kira-kira 697.1 trilion rupiah.
Angka itu melepasi sasaran defisit 2.53 peratus yang ditetapkan dalam Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan Negara (APBN) 2025, serta unjuran pertengahan tahun sebanyak 2.78 peratus.
Defisit berkenaan merupakan yang terluas dalam tempoh dua dekad, kecuali ketika pandemik Covid-19, sekali gus mencetuskan semula kebimbangan terhadap kemampanan fiskal ekonomi terbesar di Asia Tenggara itu.
Keadaan tersebut turut mendorong aliran keluar modal asing, khususnya dalam pasaran bon.
Selain faktor fiskal, pencalonan Thomas Djiwandono sebagai Timbalan Gabenor BI turut menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap potensi hakisan kebebasan institusi bank pusat.
Thomas yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai kader Parti Gerindra.
Menjawab kebimbangan itu, Ketua Harian Parti Gerindra merangkap Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad, menegaskan pencalonan berkenaan dibuat atas keputusan Gabenor BI sendiri.
“Pencalonan Thomas sebagai Timbalan Gabenor BI adalah pilihan gabenor bank pusat. Jadi, dakwaan wujud campur tangan daripada Presiden adalah tidak berasas,” katanya pada Rabu. - Agensi
Ringkasan AI
- Nilai rupiah Indonesia mencatat paras terendah sepanjang sejarah berbanding dolar AS pada 20 Januari 2026
- Penyusutan nilai rupiah disebabkan oleh kebimbangan terhadap kebebasan Bank Indonesia susulan pencalonan anak saudara Presiden sebagai Timbalan Gabenor
- Rupiah merosot dua peratus berbanding dolar AS sepanjang Januari, menjadikannya mata wang berprestasi paling lemah di Asia
- Defisit belanjawan Indonesia pada 2025 mencatat angka terluas dalam dua dekad kecuali masa pandemik Covid-19
- Pencalonan Thomas Djiwandono sebagai Timbalan Gabenor BI menimbulkan kebimbangan terhadap kebebasan bank pusat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

