Pencemaran udara di negara ini berkurangan kerana PKP

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan kadar pencemaran udara berkurangan dengan ketara di seluruh negara.

Menteri Kementerian Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan PKP bukan sahaja dapat memutuskan rantaian koronavirus (Covid-19) malah dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

"Ia ekoran pengurangan aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuat satu analisis terperinci ke atas beberapa parameter utama iaitu Nitrogen Dioksida (NO2 ), Sulfur Dioksida (SO2), Karbon Monoksida (CO) dan habuk halus bersaiz diameter 2.5 mikron (PM2.5 ).

Pemerhatian telah dilakukan di beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Lembah Klang iaitu di Batu Muda, Cheras dan Putrajaya bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Mac 2020.

Sejak penguatkuasaan PKP tahap pertama, trend bacaan pencemaran udara bagi NO2, SO2, CO dan PM2.5 bagi ketiga-tiga kawasan tersebut telah berlaku penurunan yang signifikan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, rakyat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengurangkan risiko cuaca panas dan kering buat masa ini.

"Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kerjasama orang ramai juga diminta melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727.