X

Kindly register in order to view this article
!

Persidangan Dewan Rakyat wajar diteruskan

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Rakyat wajar diteruskan walau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membincangkan secara telus berkaitan pandemik koronavirus (Covid-19) serta isu berkaitan rakyat dan ekonomi negara.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, ia adalah langkah luar biasa (meneruskan dalam tempoh PKP), namun ia memang patut dilaksanakan seperti yang telah dijadualkan.

Beliau berkata, tambah lagi, berdasarkan trend kes ketika ini, terdapat kemungkinan PKP ini akan dilanjutkan selepas 14 April nanti bagi memastikan penularan wabak dapat dikekang sepenuhnya.

"Jika ia berlaku (bersidang dalam tempoh PKP), kawalan ketat dari aspek kesihatan dan keselamatan perlu diberi keutamaan kerana ia melibatkan ramai ahli Parlimen kita.

"Paling penting, persidangan tidak boleh berlangsung dalam tempoh lama seperti sebelum ini dan fokus harus ditumpukan kepada isu Covid-19, kebajikan berkaitan rakyat serta ekonomi negara yang semakin merudum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung seperti dijadualkan iaitu pada 18 Mei ini.

Beliau menegaskan, beberapa pendekatan turut diambil kira berdasarkan perkembangan PKP fasa kedua dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi, termasuk memastikan semua rakyat, termasuk anggota Parlimen terjamin keselamatan.

Jeniri berkata, isu politik harus diketepikan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

"Tak boleh bincang soal politik kali ini, mesti dielakkan.

"Saya jangkakan apa yang dibincangkan adalah berkenaan strategi terbaik untuk menangani penularan Covid-19 dengan lebih efektif dan kedua isu berkaitan pakej rangsangan ekonomi iaitu bagaimana cara untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kerana ia menyumbang sebahagian besar ekonomi Malaysia dari segi mewujudkan peluang pekerjaan,"katanya.

Beliau berkata, jika PKS ini terjejas ia akan menyebabkan ekonomi turut terjejas dan lebih banyak syarikat PKS ditutup dan akhirnya memberi kesan langsung serta mencetuskan masalah besar dari segi sosioekonomi.

Sebelum ini, Persidangan Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung pada 9 Mac tetapi ditangguhkan ke tarikh 18 Mei.

Perkara itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof selepas pihaknya menerima surat pemakluman yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan Ketua Majlis.

Persidangan Dewan Rakyat itu dijangka berlangsung selama 15 hari.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus