‘Seeds of Knowledge' kembali dengan edisi kedua Jumaat ini

KANGAR – Program wacana ilmu, 'Seeds of Knowledge Vol 2' kini kembali dengan pengisian yang lebih mantap dan holistik.
Program berkala cetusan idea Anakanda Raja Muda Perlis, Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail itu dijadualkan berlangsung jam 2.15 petang pada Jumaat ini
Ia dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs) dengan kerjasama Tim SK dan Suara Sunnah
Program tersebut bakal diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang berkenaan untuk menyertai sesi perkongsian ilmu berkenaan.
Keberangkatan baginda berdua ke porgram tersebut bukan sahaja menzahirkan sokongan terhadap budaya ilmu, malah menyuntik semangat kepada para peserta yang hadir.
Menurut kenyataan media MAIPs, penganjurannya istimewa kerana bakal menjadi medan pertemuan intelektual dan inspirasi bagi masyarakat negeri Perlis selepas kejayaan penganjuran edisi pertamanya sebelum ini.
"Edisi kali ini menggabungkan tiga figura hebat di atas satu pentas yang memiliki atar belakang berbeza iaitu keusahawanan, psikologi motivasi kekeluargaan dan dakwah kontemporari," menurutnya.
Kenyataan itu menjelaskan, 'Seed of Knowledge Vol 2' terbahagi kepada tiga slot utama yang dimulakan dengan perkongsian bertajuk "Kekuatan dalam Kehidupan" oleh Hafiza Abd Hamid atau Pija Minaz.
"Ia kemudiannya disusuli oleh motivasi kekeluargaan oleh seorang kaunselor berdaftar dan penulis buku motivasi berpengaruh iaitu Aiman Azlan menerusi perkongsian bertajuk "Menghidupkan Kebaikan Dalam Rumah Tangga'," katanya.
Jelasnya, kemuncak pengisian ilmu akan disampaikah oleh pendakwah selebriti antarabangsa dan penulis buku terkenal, Ustaz Mizi Wahid yang akan mengupas topik sangat dekat di hati masyarakat moden iaitu "How to Keep Your Faith Amidst Setbacks, Loss, & Heartbreak".
"Selain menimba ilmu, program tersebut juga menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim sesama komuniti melalui sesi ramah mesra sepanjang program," tambah kenyataan itu lagi.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis ilmu ini yang bukan sahaja sarat dengan informasi, tetapi juga menawarkan 'baja' untuk menyuburkan jiwa dan minda, bertepatan dengan nama program itu sendiri iaitu 'Seeds of Knowledge'.
Ringkasan AI
- 'Seeds of Knowledge Vol 2' kini kembali dengan pengisian yang lebih mantap dan holistik
- Ia merupakan program berkala cetusan idea Anakanda Raja Muda Perlis, Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail
- Program yang dijadualkan berlangsung jam 2.15 petang pada Jumaat ini bakal menjadi medan pertemuan intelektual dan inspirasi bagi masyarakat negeri Perlis
- Edisi kali ini lebih istimewa kerana ia menggabungkan tiga figura hebat di atas satu pentas yang memiliki atar belakang berbeza iaitu keusahawanan, psikologi motivasi kekeluargaan dan dakwah kontemporari
- Program terbahagi kepada tiga slot utama yang saling melengkapi, dimulakan dengan perkongsian bertajuk "Kekuatan dalam Kehidupan" oleh Hafiza Abd Hamid atau Pija Minaz
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
