Bank Islam, PTPTN perkenal Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN


SHAH ALAM - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkukuh kerjasama strategik bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan memperkenalkan kad jenama bersama, Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN.
Pelanggan PTPTN yang ingin menikmati kemudahan baharu itu perlu membuka Akaun Simpanan atau Semasa Bank Islam, selain pemegang kad juga boleh menghubungkan akaun Simpan SSPN mereka dengan mudah.
Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan, Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram berkata, kerjasama strategik tersebut menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara Bank Islam dan PTPTN.
"Ia juga mencerminkan komitmen Bank Islam untuk memacu inovasi perbankan yang selamat, patuh syariah dan selaras dengan aspirasi negara ke arah masyarakat tanpa tunai.
“Melalui Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN, kami berhasrat untuk membantu pelanggan mengurus kewangan mereka dengan lebih efisien serta menikmati kemudahan transaksi digital yang mudah, cepat dan selamat," katanya dalam satu kenyataan.
Kad jenama bersama itu turut diperkenalkan semasa Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dilengkapi dengan teknologi Visa Contactless, kad debit bersama ini bukan sahaja memastikan transaksi harian dengan lebih selamat dan pantas, tetapi juga menggalakkan amalan perbelanjaan digital, selaras dengan gaya hidup moden.
Pemegang kad juga berpeluang menikmati ganjaran menarik melalui pulangan tunai sebanyak 1 peratus sehingga RM10 sebulan dengan perbelanjaan runcit terkumpul minimum RM200 setiap bulan dari 1 November 2025 sehingga 31 Disember 2026.
Selain itu, pelanggan yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan membuat pembayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan kad ini turut berpeluang menerima pulangan tunai tambahan.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya untuk membantu pendeposit Simpan SSPN dan peminjam PTPTN dalam mengurus kewangan mereka dengan cara yang lebih sistematik selain berpeluang menikmati ganjaran dan hadiah yang menarik.
“PTPTN sentiasa mengalu-alukan penglibatan institusi kewangan atau syarikat korporat lain untuk turut sama mengadakan kerjasama strategik berbentuk kempen, peraduan mahupun sumbangan bagi membantu peminjam PTPTN menyelesaikan pinjaman mereka atau sebagai simpanan di dalam Simpan SSPN," ujarnya.
Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN menawarkan pelbagai kelebihan unik termasuk kemudahan transaksi tempatan dan antarabangsa di lebih 130 juta lokasi dengan penerimaan global Visa.
Pelanggan juga boleh menetapkan had perbelanjaan dan had tanpa sentuh mengikut keperluan masing-masing serta berpeluang menikmati tawaran eksklusif dan keistimewaan menarik daripada Visa dan Bank Islam.
Maklumat lanjut mengenai kad ini boleh didapati di laman sesawang korporat Bank Islam melalui pautan Visa PPTPTN – Bank Islam Malaysia Berhad atau di cawangan Bank Islam berhampiran di seluruh negara.
Ringkasan AI
- Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN bersama PTPTN
- Pelanggan PTPTN perlu membuka Akaun Bank Islam untuk menikmati kemudahan kad tersebut
- Kad ini memacu inovasi perbankan yang selamat, patuh syariah dan menggalakkan masyarakat tanpa tunai
- Dilengkapi dengan teknologi Visa Contactless, memudahkan transaksi digital yang cepat dan selamat
- Pemegang kad berpeluang menikmati ganjaran menarik termasuk pulangan tunai dengan syarat tertentu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

