Kempen Lestari Pendidikan PTPTN dilanjutkan hingga 31 Disember

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melanjutkan tempoh pelaksanaan Kempen Lestari Pendidikan sehingga 31 Disember ini bagi memudahkan pembayaran balik pinjaman.
PTPTN dalam kenyataan berkata, langkah itu bagi memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk berunding bagi pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.
"Dalam tempoh kempen, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh membuat bayaran pendahuluan 20 peratus daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
"Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman mereka.
"Dengan kaedah ini, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

PTPTN turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peminjam yang telah menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman.
"PTPTN meminta semua peminjam agar melihat bayaran balik bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu amanah dan tanggungjawab bersama demi kelangsungan pendidikan tinggi negara sekali gus membantu memberi peluang kepada lebih ramai pelajar baharu melanjutkan pengajian.
"Rebutlah peluang sempena Kempen Lestari Pendidikan yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini dengan segera tanpa menunggu pada saat akhir," tambah kenyataan itu.
Terdahulu, Kempen Lestari Pendidikan yang bermula pada 15 Oktober lalu telah berakhir pada Isnin.
Untuk maklumat lanjut, peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
• Careline PTPTN di 03 - 2193 3000 (Beroperasi Isnin hingga Jumaat, jam 9 pagi hingga 5 petang)
• Live Chat di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my)
• E-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/)
• Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn)
• Media Sosial Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
Selain itu, peminjam juga boleh membuat bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat.
Ringkasan AI
- PTPTN melanjutkan tempoh pelaksanaan Kempen Lestari Pendidikan sehingga 31 Disember ini
- Langkah itu memberi ruang kepada peminjam dengan tunggakan berunding untuk pelan pembayaran fleksibel
- Peminjam boleh membuat bayaran pendahuluan 20 peratus dari jumlah tunggakan atau minimum RM500 melalui aplikasi myPTPTN
- Ini membolehkan peminjam menstruktur semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman
- PTPTN menghargai peminjam yang telah membuat bayaran balik dan menganggapnya sebagai tanggungjawab bersama demi pendidikan tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
